Normal baharu: Tukang jahit cilik siapkan PPE untuk petugas barisan hadapan
Madiha Abdullah
April 21, 2020 09:00 MYT
April 21, 2020 09:00 MYT
Pada usia sembilan tahun, Nur Afia Qistina Zamzuri, sudah memahami ada tanggungjawab yang perlu sama digalas ketika negara berhadapan perang melawan COVID-19.
Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Kepis, Kuala Pilah ini menggunakan kemahirannya untuk menjahit pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) untuk digunakan petugas barisan hadapan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.
Dia yang belajar menjahit sejak berusia lima tahun menggunakan masa terluang di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melaksanakan misi itu dengan bantuan ibunya, Hasnah Hud.
Hasnah berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu menawarkan diri untuk berbuat demikian selepas diberitahu tentang pasukan perubatan negara termasuk di HTAN memerlukan PPE yang banyak dan bekalannya semakin berkurangan.
"Saya mendengar tentang situasi itu dan berjumpa kakitangan HTAN untuk bertanya jenis bantuan yang saya boleh berikan kerana saya memang tukang jahit. Mereka mengalu-alukan jika saya dapat menjahit PPE untuk disumbangkan kepada mereka.
"Apabila saya ceritakan pada Afia tentang hasrat saya untuk menjahit PPE, dia pun turut sama teruja mahu membantu.
"Malah, semua PPE yang kami hasilkan sehingga kini dijahit sendiri oleh Afia. Saya cuma bantu kemaskan di bahagian leher sahaja," kata Hasnah ketika dihubungi Astro AWANI.
Bercerita lanjut, kata Hasnah, anaknya itu sudah mula menjahit dan menjual hasil jahitannya kepada penduduk sekitar kawasan perumahan mereka ketika berusia tujuh tahun.
"Dia selalu tengok saya menjahit. Permulaannya ketika berusia lima tahun, dia hanya bertanya, lepas tu dia tolong sikit-sikit.
"Masuk usia tujuh tahun, saya mula bagi dia kain-kain perca sebab nampak minat dia ke arah itu. Kemudian dia jahit sarung bantal dan jual kepada penduduk kampung," kata Hasnah yang bertugas sepenuh masa sebagai pembantu pengurusan murid di SK Felda Kepis.
Kata Hasnah, Afia mengambil masa kira-kira sejam untuk menyiapkan sepasang PPE.
Setakat ini, sebanyak 100 pasang PPE sudah dihantar untuk kegunaan petugas di HTAN dan mereka sedang menyiapkan lebih banyak PPE.
"Dia masih kanak-kanak, masih belum faham sepenuhnya situasi pandemik COVID-19 yang berlaku sekarang. Tetapi saya jelaskan kepada dia secara mudah tentang virus dan penyakit. Saya nampak dia faham bahayanya.
"Daripada situ, timbul rasa dia nak membantu. Mungkin juga disebabkan dia ada bapa saudara yang bekerja sebagai askar, jadi dia sedar mereka yang bertugas di barisan depan ini yang paling terkesan," ujar Hasnah.
Hasnah gembira kerana sumbangan kecil dia dan anaknya dapat membantu pihak yang memerlukan dan berharap memberi inspirasi kepada anggota masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan dalam menangani wabak COVID-19.