Normal baharu: Suami isteri bangun aplikasi penghantaran makanan di kawasan luar bandar
Bernama
April 29, 2020 13:21 MYT
April 29, 2020 13:21 MYT
Peniaga kecil berasaskan makanan di daerah Padang Terap kini mempunyai alternatif untuk terus menjana pendapatan di bulan Ramadan ini walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Ia hasil inisiatif sepasang suami isteri Saiful Zaharin Zakariya dan Fadhilah Azmi, kedua-duanya 43, yang mempunyai kepakaran dalam bidang IT, membangunkan sebuah aplikasi pesanan makanan sebagai platform bagi peniaga terbabit menjual produk masing-masing.
Menurut Saiful Zaharin, aplikasi yang dinamakan 'e-Desa' itu boleh dimuat turun oleh pengguna telefon pintar yang menggunakan sistem Android mulai Sabtu lepas dan sehingga kini seramai 148 peniaga serta 55 penghantar makanan telah mendaftar.
"Aplikasi ini diwujudkan sebagai e-bazar untuk menghimpunkan peniaga di sini yang terkesan ekoran penguatkuasaan PKP untuk bantu mereka terus jana pendapatan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan aplikasi itu telah dirancang beberapa minggu lepas dan berjaya direalisasikan hasil perbincangan dan kerjasama dengan Presiden Rangkaian Anak-anak Padang Terap (Rapat), Datuk Ghazali Ibrahim.
Saiful Zaharin yang menguruskan sebuah syarikat pencetakan di sini berkata aplikasi itu bukan sahaja membantu peniaga menjual produk mereka, tetapi juga membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak muda di kawasan itu sebagai penghantar makanan.
"Buat masa ini aplikasi ini dikendalikan oleh saya dan isteri saya, dan kami bersama Datuk Ghazali bercadang untuk menambah baik aplikasi ini untuk mendaftarkan lebih ramai peniaga," katanya.
Sementara itu, Ghazali berkata beliau tidak menyangka aplikasi berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peniaga memandangkan kawasan tersebut di luar bandar dan kebanyakan peniaga juga tidak mahir menggunakan telefon pintar.
"Namun selepas dilancarkan kita dapati sambutan sebenarnya amat menggalakkan dan sehingga semalam aplikasi ini telah dimuat turun sebanyak 1,000 kali dan sebanyak 88 pesanan dibuat menerusinya. Kita jangka dalam tempoh terdekat jumlah ini akan terus meningkat," katanya.
Ghazali bagaimanapun berkata aplikasi berkenaan hanya terhad untuk operasi peniagaan dan penghantaran makanan di daerah Padang Terap sahaja, namun akan dikembangkan ke kawasan lain di negeri itu kelak.
Seorang penjual minuman, Aswadi Ghazali, 38, berkata aplikasi itu sangat mudah digunakan dan dapat membantunya menjana pendapatan meskipun penguatkuasaan PKP masih dilaksanakan.
"Pelanggan akan membuat pesanan kepada saya menerusi aplikasi itu dan selepas menyediakan pesanan itu, penghantar makanan yang berada berhampiran akan mengambilnya untuk dihantar kepada pelanggan. Sungguh mudah dan menyenangkan," katanya. - BERNAMA