Normal baharu: Sambutan Hari Bomba Sedunia berbeza tahun ini
Umavathi Ramayah
Mei 4, 2020 15:03 MYT
Mei 4, 2020 15:03 MYT
Penularan pandemik COVID-19 di seluruh dunia turut membawa cabaran baharu kepada pasukan kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengkaji dan menyesuaikan tindakan dengan keadaan semasa.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid dalam perutusan Hari Bomba Sedunia pada Isnin memberitahu, pasukan itu sentiasa bersedia menghadapi apa jua keadaan demi memastikan keselamatan orang awam terpelihara.
Katanya, pasukan itu akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka termasuk membantu kerajaan memerangi COVID-19.
"The new normal (normal baharu) yang wujud semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 ini membawa gaya kehidupan yang berbeza bersama cabaran.
"Situasi ini memerlukan jabatan kecemasan seperti JBPM untuk mengkaji dan menyesuaikan tindakan sejajar dengan cabaran, pantang larang dan pendekatan yang baharu yang lebih terkawal," katanya di Putrajaya pada Isnin.
Beliau menambah, antara perubahan yang tidak dapat dielakkan adalah sambutan Hari Bomba Sedunia pada tahun ini yang diraikan dalam suasana amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Mohammad Hamdan berkata, meskipun JBPM terpaksa membatalkan majlis sambutan berikutan COVID-19, beberapa program masih diteruskan secara sederhana sebagai pengisian hari istimewa kepada pasukan berkenaan.
Terdahulu, sebagai tanda memperingati anggota JBPM yang terkorban ketika bertugas, tepat pada pukul 12 tengah hari, siren dibunyikan serentak di semua 316 balai bomba di seluruh negara
Ia kemudian disusuli bacaan surah al-Fatihah dan bertafakur untuk wira-wira negara yang terkorban.
#COVID-19
#Hari Bomba Sedunia
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#JBPM
#MCO
#Mohammad Hamdan Wahib
#normal baharu
#PKP
#PKPB