Normal Baharu: Rindu bubur lambuk Kampung Baru? Pak Zainal kini beroperasi di rumah
Harits Asyraf Hasnan
April 28, 2020 16:32 MYT
April 28, 2020 16:32 MYT
Bubur Lambuk Kampung Baru.
Nama yang tidak asing bagi warga kota Kuala Lumpur terutamanya pada bulan Ramadan.
Walaupun negara dilanda wabak COVID-19, tradisi ini tetap diteruskan, tetapi dengan cara berbeza.
Kini, suasana Ramadan di Kampung Baru cukup berbeza.
Tiada lagi barisan panjang di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Zainal Abidin Abdul Hamed mengakui kemeriahan memasak bubuk lambuk tidak lagi sama apabila dia kini hanya mengusahakannya di perkarangan rumahnya.
“Dalam hati, saya rasa sebak dan sedih sebab tahun ini memang tak dapat buat macam biasa.
“Macam dahulu, saya masak di masjid dalam 20 ke 40 periuk tapi tahun ini permintaan kurang sedikit.
“Di Masjid Jamek Kampung Baru, saya sebagai ketua tukang masak dan ada lapan pembantu dalam satu waktu, di mana saya akan pantau supaya bahan macam garam atau beras cukup.
“Kali ini di sini (rumahnya), periuk pun tak banyak, dalam lima atau enam orang pekerja sahaja,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di sini, hari ini.
LEGASI TIDAK PERNAH LUNTUR
Sosok tubuh generasi keempat tukang masak bubur lambuk Kampung Baru berusia 65 tahun ini tetap gagah meneruskan legasi yang ditinggalkan kepadanya.
Walaupun tidak lagi memasak untuk ratusan mereka yang setia menanti setiap maghrib untuk menikmatinya, dia yang dikenali sebagai Pak Zainal masih sedia menerima tempahan.
“Kalau dahulu di masjid, katakanlah satu hari kita masak 20 periuk, satu periuk boleh dapat 200 lebih bungkus, bermakna lebih 4,000 bungkus.
“Kita akan agih-agihkan kepada orang ramai. Disebabkan tahun ini ada PKP, tak benarkan orang berkumpul atau beratur.
“Jadi saya pun kesian dekat mereka yang tak dapat rasa bubur lambuk ini,” ujarnya.
GIGIH PENUHI PERMINTAAN
Katanya, walaupun perkhidmatannya di masjid tidak diperlukan, namun bagi memenuhi permintaan oirang ramai, perniagaannya masih diteruskan, tetapi kini di rumah.
Selain untuk dinikmati mereka yang membeli secara pandu lalu di hadapan rumahnya, turut ditawarkan adalah perkhidmatan penghantaran.
“Ramai orang telefon saya dan tanya saya disebabkan masjid tak dapat diadakan pemberian bubur lambuk percuma.
“Mereka tanya saya sama ada boleh masak atau tidak. Saya bincang dengan isteri dan anak saya.
“Saya kata, kita masak di rumah, kalau ada tempahan pun suruh mereka datang ambil sebab kita tak dapat meniaga di kedai,” jelasnya.
Namun, sejauh mana perniagaannya terjejas akibat PKP?
Ikuti temu bual bersama anak tunggalnya, Mastura yang kini menjadi individu penting dalam menguruskan perniagaan itu dalam siri berikutnya.
#bubur lambuk
#bubur lambuk kampung baru
#bubur lambuk Kuala Lumpur
#bubur lambuk Pak Zainal
#bubur lambuk Ramadan
#COVID-19
#normal baharu
#perniagaan PKS
#Zainal Abidin Abdul Hamed