Normal baharu: PKP latih diri bersederhana pada bulan Ramadan
Bernama
April 24, 2020 08:29 MYT
April 24, 2020 08:29 MYT
Memasuki hari ke-38 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilanjutkan hingga 12 Mei, umat Islam hari ini menjalani hari pertama ibadah puasa.
Meskipun suasana menyambut Ramadan agak berbeza tahun ini ekoran penularan wabak COVID-19 dengan kebanyakan negara di dunia turut melaksanakan PKP, namun ia tidak menghalang umat Islam untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu dalam suasana normal baharu.
Seperti hari biasa dalam tempoh PKP, peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan masih sama dan arahan untuk rakyat terus kekal berada di rumah sering diingatkan bagi memastikan rantaian COVID-19 diputuskan sepenuhnya.
Selepas pengumuman puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, pastinya umat Islam sudah bersedia menjalani ibadah selama sebulan itu walaupun terdapat kekangan seperti tiada solat fardu berjemaah, solat Jumaat dan solat tarawih di masjid dan surau bagi mematuhi PKP.
Justeru, umat Islam diseru menghidupkan ibadah dan tradisi Ramadan di rumah yang antara lain dapat mengukuhkan ikatan kekeluargaan dengan menyediakan juadah berbuka dan sahur bersama, menunaikan solat berjemaah serta memantapkan ilmu agama.
Ketiadaan bazar dan bufet Ramadan yang lazimnya diadakan setiap tahun juga mungkin memberi hikmah kepada masyarakat supaya mengamalkan sikap berjimat cermat serta membantu mengatasi lambakan makanan.
Selain itu, harus diingat supaya mengawal nafsu daripada membuat pesanan makanan yang berlebihan melalui perkhidmatan e-panggilan yang masih dibenarkan beroperasi, maklum sajalah bulan puasa begini memang ada sahaja makanan yang diidamkan atau membuat kita terliur.
Dalam langkah memberi kemudahan kepada rakyat mendapatkan bekalan makanan, kerajaan membenarkan operasi pasar awam dilanjutkan dari pukul 6.00 pagi hingga 2.00 petang ketika bulan Ramadan, berbanding 6.00 pagi hingga 12.00 tengah hari sebelum ini sepanjang PKP.
Kenderaan awam juga dibenarkan beroperasi sejam lebih awal dari pukul 4.00 petang hingga 10.00 malam, berbanding pukul 5.00 petang hingga 10.00 malam sebelum ini.
Sementara itu, bilangan kes positif COVID-19 sepanjang minggu ini terus kekal dua angka namun ia tidak seharusnya menjadi 'lampu hijau' untuk masyarakat mengingkari PKP kerana risiko jangkitan dan hukuman penjara menanti sesiapa sahaja yang berbuat demikian.
Seperti yang dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya semalam, tempoh PKP yang sepatutnya berakhir 28 April ini disambung sehingga 12 Mei.
Bagaimanapun, beliau berkata jika kes COVID-19 terus mencatat penurunan ketara, kerajaan mungkin memberi kelonggaran secara berperingkat-peringkat.
Persoalan sama ada PKP akan terus dilaksanakan sehingga mungkin fasa kelima, keenam atau seterusnya bergantung kepada disiplin masyarakat dalam mematuhi arahan PKP.
Jadilah rakyat yang bertanggungjawab untuk bersama-sama menghapuskan COVID-19.
-- BERNAMA
#Bazar Ramadan
#buka puasa
#COVID-19
#e-bazar
#masjid
#PKP
#Ramadan
#Sekatan Jalan Raya
#solat berjemaah
#suasana berbeza
#surau
#tarawih