Normal baharu: PKP jadikan guru lebih kreatif dalam penggunaan PdPc

Najmi Syahiran Mamat
April 21, 2020 17:42 MYT
Siti Faridah (kiri) dan Arifah antara guru yang bergiat aktif dalam melaksanakan PdP secara dalam talian sepanjang tempoh PKP. - Gambar Twitter@SitiShare dan Twitter@CgArifahBokitta
Institusi pendidikan antara sektor yang tidak dapat dinafikan menerima kesan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu bagi mengekang jangkitan COVID-19 di negara ini.
Namun, situasi itu tidak menghalang para guru untuk menjadi lebih kreatif serta memanfaatkan penggunaan teknologi yang ada demi memastikan proses pembelajaran anak murid mereka tidak terabai sepanjang tempoh PKP berlangsung.
Bagi seorang pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar, Perlis, Siti Faridah Matt, 34, sebagai guru mata pelajaran Kimia, beliau memanfaatkan teknologi skrin hijau atau ‘green screen’ untuk memudahkannya menerangkan topik jadual berkala unsur kimia kepada murid-muridnya.
Video yang dirakam dari rumah itu kemudiannya dimuat naik dan dikongsi menerusi akaun media sosial YouTube miliknya.
Katanya, meskipun masih di peringkat awal dalam menyesuaikan diri dengan penggunaan skrin hijau itu, dia turut dibantu oleh suami, Mohd Hafizuddin Ahmad Dahalan, yang juga merupakan seorang guru di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.
“Pada fasa pertama PKP, kami hanya menggunakan apa yang ada di rumah untuk menghasilkan rakaman menggunakan kain hijau kosong yang diikat dengan tali.
“Semasa PKP fasa kedua diumumkan, jenis peralatan ditingkatkan sedikit demi sedikit atas dasar minat dengan membeli peralatan tambahan secara atas talian,” kata Siti Faridah yang bertekad untuk meningkatkan kualiti rakaman dan juga pengisian pembelajaran dari masa ke semasa.
Jelasnya selain dibantu suami, dia turut mempelajari asas kemahiran menggunakan skrin hijau itu daripada ‘Cikgootube’, sekumpulan guru yang secara sukarela menerbitkan kandungan pembelajaran mereka sendiri di YouTube.
“Pasukan Cikgootube mempunyai lebih 3,000 guru dari semua negeri dan kami juga bergiat aktif dalam menghasilkan kandungan kreatif untuk EduwebTv dan TV Pendidikan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Jelasnya, selari dengan saranan kerajaan kepada para guru mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dari rumah, dia percaya konsep skrin hijau itu dapat menarik minat murid selain menambah nilai dalam kandungan PdPc itu sendiri.
Tambah Siti Faridah lagi, itu merupakan salah satu kaedah yang dipilih serta mengambil kira juga pelajar yang menghadapi kekangan pemilikan peranti dan capaian internet yang lemah di rumah mereka.
“Oleh sebab itu saya muat naik video PdPc serta ‘live stream’ di YouTube supaya video dapat diakses oleh murid pada bila-bila masa. Video-video ini akan saya gunakan nanti selepas sekolah dibuka dengan kaedah ‘flipped clasroom’,” katanya lagi.
Mengulas isu tular yang mengatakan guru seperti tidak ‘berhati perut’ mengajar secara dalam talian sehingga ada ibu bapa yang terpaksa meminjam duit untuk mendapatkan akses internet, jelasnya, guru hanya mencuba menerokai teknologi dan tiada sebarang paksaan kepada pelajar.
Sementara itu, pada nada sama, guru mata pelajaran Sains dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ali Ahmad, Kangar, Perlis, Arifah Raedah Muhamad Pauzi, 35, berpendapat bahawa ketika hampir semua guru di Malaysia bertungkus lumus menyampaikan ilmu dalam pelbagai cara sepanjang PKP, murid juga perlu turut sama menyertai PdPc ini secara aktif.
“Pada pandangan saya, guru-guru yang berminat dengan teknologi pendidikan semestinya menantikan saat-saat ini kerana sebenarnya kaedah penggunaan teknologi pendidikan sudah lama dijalankan secara berperingkat terutamanya melalui aplikasi YouTube.
“Tinggal sekarang murid-murid pula perlu berusaha untuk menyertai kelas secara talian yang disediakan oleh guru-guru. Bagi murid-murid yang susah mendapat akses internet, boleh juga melalui aplikasi WhatsApp dimana saya kira hampir kebanyakan orang sudah memiliki telefon bimbit hari ini,” katanya.
Jelas Arifah, tiada alasan bagi murid-murid tidak menggunakan kemudahan yang ada kerana masih ada golongan yang tidak memiliki telefon bimbit, namun tetap berjaya menyertai kelas secara talian.
Difahamkan Arifah kini turut giat menjalankan kelas secara talian menggunakan aplikasi Zoom, OBS dan siaran langsung di Facebook selain memberi kerjasama dalam pembikinan TV Pendidikan.
“Pada mulanya, saya menggunakan kaedah projektor LCD dan ‘Mirascreen Ezplay’ untuk disambungkan dengan komputer riba. Selepas itu, saya belajar pula cara kongsi skrin (share screen) di Facebook Live jadi saya tidak perlu guna projektor lagi.
“Saya juga diberi mandat untuk menguruskan subjek Sains untuk pelajar Tingkatan 1 bagi negeri Perlis dimana seramai enam orang guru yang terlibat termasuk saya dalam pembikinan slot TV Pendidikan ini,” katanya.
Pada Isnin, menerusi segmen Agenda AWANI, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, memaklumkan bahawa guru dibenarkan untuk membuat keputusan terbaik ketika menjalanan PdP dalam talian terutamanya sepanjang tempoh PKP yang sedang berlangsung.
#Agenda Awani #belajar dari rumah #Cikgu Arifah #Cikgu Rafidah #COVID19 #Dr Mohd Radzi Md Jidin #kelas online #Kementerian Pendidikan #normal baharu #pdp #PdPc #pelajar #pendidikan #PKP #sekolah #Viral Twitter #WhatsApp
;