Normal baharu: Pengunjung rindu kemeriahan, kepelbagaian makanan bazar Ramadan
Adie Sufian Zulkefli
April 25, 2020 10:05 MYT
April 25, 2020 10:05 MYT
Setiap kali hadirnya Ramadan, murtabak ayam, ayam golek dan nasi hujan panas di bazar Jalan Tun Razak di sini pastinya menjadi buruan orang ramai untuk dijadikan juadah berbuka.
Namun, tahun ini semua juadah tersebut tidak lagi dijual di kawasan itu, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kecuali nasi campur dan nasi ayam, yang peniaganya mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi.
Bagaimanapun, mereka yang gemar ke bazar seperti kelaziman sebelum ini, tetap mengunjungi tapak itu walaupun hanya terdapat segelintir gerai sahaja yang berniaga, susulan langkah diambil kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.
Bagi Mohd Mat Noor, selama hampir 30 tahun dia telah mengunjungi bazar ini untuk mendapatkan juadah berbuka.
"Saya memang selalu datang sini untuk beli makanan. Tetapi, Ramadan tahun ini tiada bazar, kita rasa rindu dan sunyi. Disebabkan keadaan semasa (COVID-19), kita kena ambil langkah berjaga jaga.
"Di sini senang untuk dapat bermacam jenis juadah. Tetapi dalam suasana sekarang, masalah untuk mendapat bekalan yang selalu kita beli, seperti murtabak, ayam golek dan nasi hujan panas.
"Bagaimanapun, dengan adanya beberapa gerai di sini, sedikit sebanyak terubat kerinduan itu," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Hasbullah Nordin, turut melahirkan rasa rindu dengan suasana kebiasaan pada bulan Ramadan.
"Memang satu kelainan. Tak macam selalu, apabila Ramadan, keadaan meriah di bazar ini. Ramai orang nak beli juadah macam-macam. Tetapi, Ramadan kali ini memang rasa sepi," katanya.
Sementara itu, peniaga nasi campur, Mohd Hadi Husaini, mengakui terpaksa berniaga demi mencari rezeki buat keluarganya walaupun dalam keadaan yang amat berbeza kali ini kerana ia tidak semeriah biasa.
Menurutnya, dia mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup hidung dan mulut dan mengamalkan penjarakan sosial.
"Bagi saya, memang rindu dengan suasana bazar Ramadan sebelum ini yang meriah. Apabila terjadi COVID-19, memang jadi buntu. Tetapi, terpaksalah ikut (PKP), untuk putuskan rantaian virus itu.
"Dan kena ikut prosedur operasi standard (SOP) pastikan perniagaan berjalan seperti biasa, seperti, kena ambil pesanan secara atas talian dan gunakan Foodpanda. Kami juga ada runner sendiri," katanya.
Bagi Ariffin Man yang berniaga nasi ayam dan pasembor, dia terpaksa mencuba normal baharu apabila menggunakan kaedah jualan secara atas talian.
Kaedah itu disifatkannya tidak sesuai dengannya, kerana dia mengaku kurang mahir menggunakan gajet dan media sosial untuk berniaga.
"Sambutan hari pertama Ramadan tahun ini nampak berkurangan sikit, sebab ada syarat dari pihak PBT, kita perlu guna runner, dan sebagainya.
"Tetapi, ada pelanggan tetap yang datang juga sebab dia tahu kedai dibuka. Pelanggan biasa akan hubungi kita dulu, kemudian datang ambil makanan yang dipesan," katanya yang dibantu anak-anak dalam menguruskan perniagaan.
#Alor Setar
#Bazar Ramadan
#COVID-19
#gerai
#koronavirus
#media sosial
#nasi ayam
#operasi
#peniaga
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#puasa
#Ramadan
#Rindu Ramadan
#SOP