Normal baharu: Majikan disaran lakukan sistem penjadualan kerja di rumah, di pejabat

Fauzi Suhaimi
Mei 4, 2020 15:07 MYT
Shareen berkata, pembahagian itu boleh dilakukan mengikut jumlah pekerja yang bekerja di rumah serta di pejabat. - Foto https://hrasiamedia.com/
Semua majikan atau syarikat disarankan untuk terus mengekalkan kaedah pembahagian pekerja mengikut keperluan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif GigxGlobal, Shareen Shariza Datuk Abdul Ghani berkata, pembahagian itu boleh dilakukan mengikut jumlah pekerja yang bekerja di rumah serta di pejabat.
Menurutnya, perkara itu bagai mengurangkan jumlah pekerja yang ramai di sesuatu tempat khususnya di pejabat.
"Bagi menjalankan tugas itu, adalah lebih baik semua pihak mengutamakan unit yang penting dan dibenarkan bekerja di pejabat manakala yang kurang penting boleh teruskan untuk bekerja di rumah buat masa ini.
"Dengan cara itu, kita boleh cipta satu kombinasi yang tersusun sekali gus mampu menjalankan tanggungjawab tanpa berlakukan bentuk himpunan di sesuatu tempat," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Mengulas lanjut, Shareen Shariza berkata, rata-rata syarikat juga mempunyai polisi dan garis panduan tertentu dalam melakukan kaedah berkenaan tanpa menjejaskan produktiviti pekerjaan harian.
"Sekarang ini kita hanya lakukan atau praktikkan sahaja kaedah ini dan syarikat boleh menyelaraskan operasi masing-masing dengan menggunakan sistem penjadualan tersusun.
"Pada masa ini, banyak aplikasi yang boleh dijalankan dalam melaraskan operasi dan transformasi ini, malah kaedah ini juga mampu meningkatkan produktiviti dan tata cara kerja yang lebih lancar mengikut normal baharu," ujarnya.
#Astro #Astro Awani #COVID-19 #kerja dari rumah #operasi #PKPB #rumah
;