Normal baharu: Lebih 500 sukarelawan Sarawak bergabung hasilkan puluhan ribu PPE

Nickyson Nyambar
April 20, 2020 17:56 MYT
Inisiatif ini bertujuan membantu golongan memerlukan serta memastikan petugas kesihatan di Sarawak diberi perlindungan sepatutnya dalam memerangi wabak COVID-19. -Gambar fail
Lebih 500 sukarelawan di Sarawak yang menyertai gerakan #JagaSamaDirik berganding bahu dalam menghasilkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk diedarkan kepada petugas kesihatan.
Inisiatif ini adalah bertujuan untuk menambah bilangan PPE yang diperlukan setiap hari oleh golongan itu dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Menurut wakil kumpulan itu, Hazwan Razak, inisiatif berkenaan adalah gerakan akar umbi yang tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi atau berasaskan keuntungan.
Beliau yang juga Ketua Unit Kampung Digital Sarawak Multimedia Authority (SMA), berkata selain daripada menghasilkan PPE, mereka juga aktif membantu keluarga yang memerlukan.
Katanya, para sukarelawan telah diberi tugas masing-masing dalam menjayakan inisiatif ini.
“#JagaSamaDirik merupakan gerakan akar umbi yang disertai sukarelawan dari pelbagai latar belakang termasuk golongan pengamal dan pencipta teknologi untuk membantu petugas barisan hadapan dan masyarakat setempat.
“Gerakan ini telah berkembang merangkumi pelbagai organisasi, perusahaan perniagaan, universiti dan individu dengan matlamat yang sama iaitu untuk mewujudkan kesan yang positif dalam masyarakat,” jelasnya.
Mengenai PPE, beliau berkata, antara barangan yang dihasilkan termasuk pelindung muka pakai buang, sarung kepala, sarung kasut dan pakaian penutup keseluruhan untuk petugas kesihatan.
Jelasnya lagi, penghasilan barangan tersebut melibatkan penggunaan teknologi seperti perisian reka bentuk 3D, pencetak 3D, pemotong laser, fabrik, mesin jahit, gam serta pita pelekat.
Dalam masa sama, elemen keselesaan diberi keutamaan dalam penghasilan barangan itu bagi memastikan petugas dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Ujar Hazwan lagi, kesemua bantuan terbabit akan terus diagihkan ke semua pusat rawatan COVID-19 di Sarawak yang mengemukakan permintaan kepada pihaknya.
Beliau berkata, sehingga kini, lebih 30,000 PPE telah berjaya diagihkan dan para sukarelawan masih mengerah tenaga mereka menghasilkan lebih banyak kelengkapan tersebut bagi memenuhi kekurangan dihadapi pusat kesihatan.
Sementara itu, katanya gerakan ini turut menyantuni keluarga yang memerlukan dengan memberikan barang keperluan makanan hasil sumbangan ramai pihak.
“Sumbangan makanan ini akan dipaketkan sebagai Pakej Penyayang dan diagihkan oleh para sukarelawan kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai untuk bersama menghulurkan sumbangan dalam bentuk bekalan makanan atau PPE ke Pusat Inovasi Warisan Kreatif SMA dan di beberapa lokasi khas di Sibu, Bintulu dan Miri.
Bantuan boleh diserahkan bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang setiap hari.
Katanya, bagi mereka yang ingin membuat sumbangan dana, mereka boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke akaun Persatuan Bekas Pelajar St Mary (RHB Bank: 21101600086818).
#Astro Awani #AWANI Sarawak #COVID-19 #Ketua Unit Kampung Digital SMA #Persatuan Bekas Pelajar St Mary #PPE #Pusat Inovasi Warisan Kreatif SMA #Sarawak Multimedia Authority #SMA
;