Normal baharu: Lagu dikir barat didik masyarakat patuhi PKP - JaPen Kelantan

Bernama
April 27, 2020 11:34 MYT
Lagu bertajuk "Duduk Di Rumah" itu mula diperdengarkan melalui Facebook jabatan itu sejak dua hari lepas. Gambar hiasan/ Bernama.
Bagi memastikan rakyat khususnya masyarakat negeri Kelantan memahami Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Penerangan Kelantan memperkenalkan sebuah lagu berkonsepkan Dikir Barat bagi tujuan itu.
Pengarahnya, Lim Ann Teck berkata lagu bertajuk "Duduk Di Rumah" itu mula diperdengarkan melalui Facebook jabatan itu sejak dua hari lepas.
"Lagu itu didendangkan oleh dua penyanyi terkenal dikir barat di Kelantan iaitu Fendi Kenali dan Raden Mas Uji dan ia hasil ciptaan kedua-dua mereka.
"Liriknya adalah melalui kerjasama jabatan ini dengan mereka dan lagu itu telah mula diperdengarkan juga menerusi pembesar suara van bergerak di seluruh negeri," katanya.
Lim berkata lagu itu akan turut diperdengarkan menerusi KELANTANfm tidak lama lagi agar semua masyarakat negeri ini dapat menghayati lirik lagu berkenaan.
"Lagu ini diharapkan dapat mendidik masyarakat mengenai wabak COVID-19 dan kita telah menerima maklum balas yang sangat baik daripada masyarakat termasuk di pedalaman," katanya.
Sepanjang Ramadan ini, Jabatan Penerangan Kelantan turut memperkenalkan "Tazkirah On Wheels" iaitu penerangan agama oleh penceramah yang disiarkan melalui van bergerak dan laman sosial jabatan itu.
Sementara itu, Lim melahirkan rasa kecewa dengan sikap masyarakat yang mula mengabaikan penjarakan sosial terutama di pasar-pasar awam apabila mengetahui wabak COVID-19 di Kelantan kini semakin baik.
"Ini yang semakin kita khuatir dan kita telah memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai keadaan itu. Kita mahu masyarakat mematuhi arahan mengenai PKP dan sebagainya bagi membendung wabak ini," katanya. - BERNAMA
#didik masyarakat #dikir barat #Facebook #koronavirus #laman sosial #patuhi #PKP #rakyat #Ramadan
;