Normal baharu: Ini kelainan menyambut Aidilfitri dalam suasana pandemik

Najmi Syahiran Mamat
Mei 23, 2020 04:50 MYT
Aidilfitri 2020 juga bakal menjadi suatu perayaan yang paling diingati pada masa akan datang. - Gambar Astro AWANI
PERAYAAN dan sambutan hari istimewa keagamaan pasti menjadi acara yang dinanti-nantikan saban tahun bagi kebanyakan agama di seluruh dunia.
Namun, akibat penularan wabak COVID-19 yang berkehendakkan masyarakat dari seluruh kaum dan bangsa untuk menyambutnya tidak seperti kelaziman.
Acara berkumpul beramai-ramai, upacara sembahyang berjemaah di tempat ibadat, majlis makan malam perlu disambut hanya dalam kalangan keluarga sahaja demi membendung musuh ‘halimunan’ ini.
Bagi umat Islam, selepas Ramadan tanpa pasar juadah dan solat tarawih di masjid, ini pula normal baharu sempena Aidilfitri.
Memanfaatkan teknologi di hujung jari dengan ‘raya online’
Amalan pemberian duit raya dalam kalangan masyarakat Melayu sudah tidak asing lagi.
Aktiviti menghulurkan duit raya secara tidak langsung melibatkan komunikasi secara rapat.
Namun, bagi memaksimumkan keselamatan diri dengan jarak sosial, amalan memberi duit raya kini lebih mudah jika hanya memindahkan wang secara dalam talian.
Aplikasi e-pembayaran ‘Touch n Go eWallet’, umpamanya, antara platform digital yang menawarkan kemudahan memindahkan duit raya tanpa tunai (cashless) dan tanpa sentuh (contactless).
Cara yang lebih cepat ini mungkin boleh dipraktikkan kepada sanak saudara yang tidak dapat balik beraya pada tahun ini.
Selain duit raya, pertemuan dan kebersamaan juga merupakan elemen penting setiap kali menyambut raya.
Bagaimanapun, mungkin ini adalah masa untuk sama-sama kita memahami bahawa jarak bukan penghalang untuk kita tidak menyambut hari raya bersama.
Situasi seperti berpakaian lengkap baju raya pada hari pertama dan bersedia dengan panggilan video bersama ahli keluarga antara normal baharu buat mereka yang terpisah.
Meskipun tidak dinafikan perasaan itu berbeza, sekurang-kurangnya, ia dapat mengubat rindu.
Raya dapat disambut setiap tahun tetapi nyawa tidak boleh diganti.
Solat sunat Aidilfitri berjemaah bersama keluarga
Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengeluarkan arahan agar semua aktiviti keagamaan terutama melibatkan solat berjemaah ditangguhkan sementara bagi mengekang penularan wabak ini.
Solat sunat tarawih pada bulan Ramadan antara lain memberi isyarat kepada umat Islam untuk mengerjakan syariat ibadah sunat setahun sekali itu dalam suasana baharu.
Ia tidak seperti tahun sebelumnya yang melihatkan umat Islam mengimarahkan masjid-masjid pada setiap malam.
Ketika kes jangkitan virus ini masih aktif dalam masyarakat kita, pelaksanaan solat sunat Aidilfitri turut terkena tempias yang serupa.
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berdasarkan laporan berita Astro AWANI, boleh dikatakan hampir semua majlis agama negeri mengeluarkan kenyataan mengenai pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di masjid yang bersyarat.
Begitu juga negeri seperti Kelantan, Sarawak, Pahang dan Negeri Sembilan yang
memutuskan untuk tidak membenarkan solat sunat raya di masjid dalam kalangan penduduk.
Oleh kerana bilangan jemaah dan jumlah masjid beroperasi dihadkan, solat sunat Aidilfitri boleh dilaksanakan di rumah bersama keluarga.
Justeru, bagi mereka yang tidak terpilih sebagai jemaah di masjid, ini peluang anda untuk memeriahkan suasana normal baharu dengan mengerjakan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga secara berjemaah di rumah.
Namun, lebih menarik apabila ketua keluarga diberi pilihan untuk memainkan peranan tambahan iaitu membacakan khutbah raya dan mengetuai laungan takbir raya bersama ahli keluarga sebagai melengkapkan rukun sah solat sunat Aidilfitri.
BACA: Umat Islam di P. Pinang boleh solat Aidilfitri di rumah
Had bilangan tetamu dalam amalan kunjung-mengunjung
Selain itu, masyarakat kejiranan dalam negeri yang sama perlu terima dengan amalan ziarah-menziarahi yang kini berperaturan.
Berikut merupakan kronologi perkembangan normal baharu bagi amalan kunjung-mengunjung bersempena sambutan Syawal nanti:
  • Setiap keluarga perlu mematuhi SOP penjarakan sosial, memakai topeng mulut dan hidung serta amalan kebersihan kendiri sepanjang sambutan Aidilfitri.
  • Tambah beliau, rumah terbuka tidak dibenarkan sepanjang bulan.
  • BACA: PKPB: Aktiviti ziarah-menziarahi hanya dibenarkan pada hari pertama perayaan
  • Tegas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, orang ramai perlu melupakan had maksimum 20 orang kerana angka itu bersifat relatif dan mengadakan sambutan secara tertutup di kediaman masing-masing.
  • Jelasnya, ia bukan sesuai untuk semua misalnya mereka yang tinggal di apartmen bersaiz kecil. Beliau menasihatkan orang ramai patuh pada 3C dan 3W bagi memutuskan rantaian COVID-19.
    Terbaharu, dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengingatkan orang ramai agar mengambil langkah berwaspada dalam sebarang urusan yang ingin dilakukan semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini walau ziarah raya dibenarkan.
    Tangguh niat ziarah kubur pada hari pertama Syawal
    Beberapa jabatan atau majlis agama di setiap negeri juga bersepakat melarang penduduk daripada menziarahi makam diraja dan tanah perkuburan sepanjang sambutan Aidilfitri.
    Antara negeri yang telah mengeluarkan arahan berkenaan ialah Kedah, Selangor, Sarawak dan Pulau Pinang.
    Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad, ketetapan itu diambil selaras dengan pelaksanaan PKPB bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
    Tiada kemeriahan amalan ‘balik kampung’
    Aktiviti ‘balik kampung’ di musim cuti perayaan boleh dikatakan sudah sebati dalam kalangan masyarakat.
    Setiap tahun, tol dan lebuh raya bakal menjadi sesak ekoran pergerakan kenderaan melibatkan jumlah yang besar dari pelbagai arah yang kebanyakannya melibatkan perjalanan dari bandar ke kampung.
    Tahun ini, masyarakat perlu akur dengan perintah sekatan yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
    Kerajaan pada 10 Mei lalu juga mengambil keputusan untuk terus menguatkuasakan larangan perjalanan merentas sempadan negeri sempena musim perayaan ini.
    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, larangan itu kekal berkuat kuasa sepanjang musim Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, dan Hari Gawai, bagi menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.
    Walaubagaimanapun, laporan dari PDRM mendapati masih ramai yang tidak mengendahkan peringatan berkenaan dengan mencipta pelbagai alasan untuk pulang ke kampung.
    Menerusi statistik dikeluarkan polis, sebanyak 3,212 buah kenderaan diarah berpatah balik selepas cuba merentas negeri dengan alasan mahu pulang ke kampung.
    Keterujaan untuk merasai perjalanan jauh ke kampung juga perlu disimpan dahulu buat ketika waktu yang dikatakan ‘luar biasa’ ini.
    Yang pasti, kelainan ini bukanlah menafikan hari kemenangan bagi umat Islam yang perlu disambut dengan sederhana. Namun, sifat keredhaan itu perlu diakui sebagai menzahirkan kesyukuran.
    Aidilfitri 2020 juga bakal menjadi suatu perayaan yang dikenang pada masa akan datang.
    #Aidilfitri #Aidilfitri 2020 #balik kampung #hari raya #JAIS #kesihatan #KKM #normal baharu #PDRM #Polis Diraja Malaysia #rentas negeri #Solat sunat hari raya #solat terawih #SOP #takbir raya
    ;