Normal baharu: Industri labu sayong perlu bangkit dengan inovasi baharu

Aida Aziz
Jun 16, 2020 12:48 MYT
Mohd Pareb berkata, pembaharuan dalam penghasilan labu sayong penting bagi melonjakkan kembali industri yang dahulunya banyak bergantung kepada kunjungan pelancong luar negara. - Astro AWANI
Industri pembuatan labu sayong yang bergiat aktif di Kampung Kepala Bendang, Sayong, di sini, bukan sekadar mendapat tumpuan dari pengunjung domestik tetapi sudah pun mencuri tumpuan pelancong dan pencinta seni itu dari luar negara sebelum ini.
Difahamkan, industri yang sudah bertapak di bandar diraja Kuala Kangsar hampir 200 tahun ini turut menjadi 'trademark' bagi pengusaha pakej pelancongan di Perak serta menjadi antara salah satu sumber pendapatan penduduk setempat.
Bagaimanapun, Mohd Pareb Zamari, 42 tahun, generasi kelima perusahaan kraf dan labu sayong milik keluarga ini mengakui, pengusaha labu sayong di kampung tersebut turut terkena tempias sepanjang tiga bulan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Baginya, cara untuk bangkit semula meneruskan perniagaan ini adalah dengan merangka satu kreativiti baharu sambil tidak menghilangkan keaslian dan keindahan dalam seni labu sayong.
"Kita dah rangka satu pakej. Apabila pengunjung datang ke Kuala Kangsar, selain mereka tengok kawasan di sini, mereka akan ke Sayong dan buat labu sayong. Di samping itu, mereka boleh juga tahu susur galur seni ini dan sejarah berkaitan kraf.
"Untuk labu sayong, saya kurang galakkan secara dalam talian, disebabkan risiko untuk hantar melalui pos itu sangat tinggi. Ia mudah pecah kerana diperbuat dari tanah liat," katanya yang mengusahakan perniagaan bersama isterinya.
Mohd Pareb yang sudah menjalankan perusahaan ini selama 25 tahun dan mengikuti kursus selama setahun dalam bidang itu di Jepun berkata, pembaharuan dalam penghasilan labu sayong penting bagi melonjakkan kembali industri yang dahulunya banyak bergantung kepada kunjungan pelancong luar negara.
"Biasanya saya akan buat satu kelainan. Bagi saya, apabila buat benda yang sama, agak susah nak pergi jauh. Tambah pula bengkel perusahaan saya ini di kawasan pendalaman. Apa pun, kita kena rangka strategi baharu untuk lonjakkan semula pembuatan labu sayong," ujarnya.
Ramai pelancong luar negara sangat berminat untuk lihat sendiri proses pembuatan dan mahu bawa ia pulang
Katanya lagi, boleh dikatakan kebanyakan penduduk di Kampung Kepala Bendang mahir dalam pembuatan labu sayong dan mendapat jolokan kampung kraf dan labu sayong.
Ini dapat dilihat menerusi deretan kedai kecil yang menjual produk tersebut di sepanjang jalan masuk ke kampung berkenaan.
"Peranan labu sayong sebenarnya baik untuk kesihatan dan dalaman kita. Malah ada juga labu sayong yang dijadikan tempat simpanan air dan bersifat menyejukkan, tanpa perlu letak di dalam peti ais.
"Ramai pelancong dari luar negara yang sangat berminat untuk lihat sendiri proses pembuatan dan mahu bawa ia pulang, namun atas sebab saiznya (labu sayong) yang besar mungkin itu menjadi kekangan buat mereka," katanya.
Sebelum ini, katanya, dia sering menerima kunjungan rombongan pelajar sekolah.
Sehubungan itu, selaras prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha mengekang penularan COVID-19, dia berkata, semestinya ada tatacara baharu yang akan dibuat untuk dipatuhi oleh pengunjung.
Mohd Pareb juga berharap dengan adanya pakej pelancongan baharu yang menggabungkan pelbagai industri kraf di Kuala Kangsar tidak lama lagi, bandar itu dapat menjadi pusat sehenti bagi para pencinta seni melihat dan mempelajari sendiri asal usul kraf tersebut.
Kena ada kelainan, kerana jika buat benda yang sama, susah nak pergi jauh
"Sebelum ini mereka akan berkumpul ramai-ramai di bengkel ini untuk belajar hasilkan labu sayong dan hasil kraf lain, tetapi dengan SOP yang baharu disebabkan COVID-19 ini saya terpaksa kurangkan jumlah pengunjung yang ada dalam satu-satu masa.
"Mungkin suasananya tidak lagi seperti dulu apabila mereka boleh duduk dekat-dekat. Namun, saya akan pastikan proses pembelajaran itu dapat dijalankan dengan baik. Mudah-mudahan pengunjung dapat sesuaikan diri dengan normal baharu ini," katanya.
#bengkel #dalam talian #kampung kraf #kesihatan #kreativiti #Kuala Kangsar #labu sayong #normal baharu #pelancong #pelancongan #pembaharuan #perintah kawalan pergerakan #perniagaan #PKP #Sayong #SOP #tatacara
;