Normal Baharu: FOMCA jangka pekerja berdepan tempoh sukar suku tahun pertama 2021
Umavathi Ramayah
Mei 19, 2020 14:25 MYT
Mei 19, 2020 14:25 MYT
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan supaya menimbangkan pelanjutan moratorium selama enam bulan yang akan berakhir pada September ini sehingga Disember, tahun ini.
Presidennya, Datuk Dr Marimuthu Nadason memberitahu, memandangkan proses pemulihan ekonomi dunia dijangka mengambil masa maka pekerja akan berdepan dengan kesukaran untuk kembali kepada kehidupan seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau meramalkan, akibat pandemik COVID-19, anggota masyarakat barangkali akan berhadapan dengan pemberhentian kerja, pengurangan gaji sehingga 40 peratus atau diberi cuti tanpa gaji.
"Perangkaan yang dikeluarkan oleh Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) baru-baru ini mendedahkan 86.1 peratus daripada sektor pembinaan masih belum beroperasi.
"Kita menjangkakan pekerja akan melalui tempoh genting pada suku pertama tahun depan termasuk berdepan dengan risiko harta dilelong, kereta ditarik atau diisytiharkan muflis oleh mahkamah ekoran gagal melunaskan hutang kepada bank,"katanya ketika ditemuramah Buletin AWANI di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut Marimuthu berkata, perkara ini akan memberi tekanan kepada pekerja yang kemudian mengundang lebih banyak kes keganasan domestik dan penceraian.
Beliau menjejaskan daripada 15.6 juta tenaga kerja di Malaysia, hanya empat juta pekerja bekerja di sektor kerajaan dengan 1.6 juta pesara.
Ïni bermakna hanya segelintir golongan sahaja yang akan terus mendapat gaji tanpa sebarang sekatan manakala sebilangan besar penduduk bakal berdepan dengan masalah,"tambahnya.
Ekoran itu beliau berharap, kerajaan akan memberi kelonggaran kepada rakyat untuk merancang semula pembayaran dan kehidupan seperti sedia kala.
#COVID-19
#Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia FOMCA
#Lembaga Industri Pembinaan Malaysia CIDB
#perintah kawalan pergerakan
#PKP