Normal baharu: 'Bubur kanji Masjid Zahir' tetap dapat sambutan walaupun tukar lokasi
Adie Sufian Zulkefli
April 30, 2020 10:06 MYT
April 30, 2020 10:06 MYT
Walaupun namanya tidak gah seperti bubur lambuk Kampung Baru namun bagi masyarakat sekitar Alor Setar, bubur kanji yang dimasak di Masjid Zahir di sini, sentiasa dinanti-nantikan setiap kali Ramadan.
Bagaimanapun, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti memasak bubur kanji kini tidak lagi dibuat di Masjid Negeri itu, sebaliknya dipindahkan ke Surau Arfaniyyah, Jalan Datuk Kumbar.
Menurut Pengerusi Surau Arfaniyyah, Shamsudin Arshad, 62, mereka meneruskan tradisi memasak bubur kanji yang bermula 15 tahun lalu, sebaik mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah Kota Setar.
Katanya, kebenaran itu bagaimanapun memerlukan mereka mematuhi syarat ketat termasuk mengamalkan penjarakan sosial dan memakai penutup hidung dan mulut.
Jelas Shamsudin setiap hari, dia bersama ahli jawatankuasa surau akan menyediakan bahan-bahan seperti beras, bawang merah, bawang putih, halia, santan, teh herba selain bahagian tulang lembu untuk digunakan sebagai penyedap rasa.
"Sejak awal Ramadan, setiap hari kami memasak 15 hingga 20 kilogram beras untuk dijadikan bubur kanji sebelum dimasukkan ke dalam bekas dan diedarkan kepada penduduk sekitar.
"Bagi warga emas dalam kawasan kampung ini, kita akan hantar manakala penduduk lain akan datang beratur untuk ambil pada jam 5 petang. Mereka juga diwajibkan menjaga penjarakan sosial," katanya.
Bagi ahli jawatankuasa Kuasa Surau Arfaniyyah, Ku Abdul Razak Ku Samad, 55, proses memasak bubur kanji kali ini agak berlainan kerana mereka terpaksa mematuhi arahan yang telah ditetapkan.
"Kali ini banyak pantang larang termasuk mendisiplinkan masyarakat supaya mereka tidak beratur rapat-rapat untuk ambil bubur," katanya.
Sementara itu bagi penggemar bubur kanji, mereka akan berusaha mendapatkannya kerana berasa tidak lengkap berbuka puasa tanpa juadah ini.
Ada antara mereka yang datang dari Langgar dan Pokok Sena yang terletak hampir 10 kilometer dari surah berkenaan untuk mendapatkan bubur kanji.
Mahdzir Hasan, dari Langgar berkata, dia sudah tiga kali datang mengambil bubur sejak hari pertama Ramadan.
"Sejak PKP, susah untuk jumpa orang buat bubur kanji di tempat lain. Tahun sebelum ini memang saya kerap ambil di Masjid Zahir kerana rasanya yang istimewa dan sudah terkenal.
"Tahun ini alhamdulillah masih ada lagi bubur ini cuma tempatnya sudah diubah ke sini," katanya.
#Alor Setar
#bubur nasi
#buka puasa
#kanji
#Kedah
#koronavirus
#masjid
#polis
#puasa
#Ramadan
#surau
#warga emas