Normal baharu: Bayaran zakat semasa PKP? Ini perkara yang anda perlu tahu
Astro Awani
April 20, 2020 04:13 MYT
April 20, 2020 04:13 MYT
JABATAN Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dari Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan jawapan kepada soalan-soalan lazim oleh orang ramai mengenai pelaksanaan kutipan zakat fitrah bagi tahun ini yang mengalami sedikit perubahan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
1. Adakah zakat fitrah akan dilaksanakan pada tahun ini, memandangkan penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP?
Ya, zakat fitrah merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan oleh setiap individu Muslim jika mempunyai kemampuan.
2. Jika semua pusat zakat melaksanakan kutipan fitrah pada tahun ini, adakah kaedah pembayaran secara atas talian akan digunakan?
Kesemua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) di Malaysia akan mengoptimumkan kaedah pembayaran zakat fitrah secara atas talian bagi memudahkan para pembayar menunaikan kewajipan dengan lebih pantas dan selamat.
Kadar dan kaedah pembayaran zakat fitrah pada tahun 1441H/2020M bagi seluruh negeri di Malaysia adalah sebagaimana berikut:
3. Mengapakah kadar zakat fitrah antara negeri-negeri di Malaysia tidak selaras?
Asal kewajipan zakat fitrah sebagaimana yang dinukilkan dalam perbahasan fiqh adalah makanan ruji masyarakat setempat. Di Malaysia, ia dinilaikan dengan beras yang menyamai sukatan segantang beras.
Ringkasnya, perbezaan kadar zakat fitrah adalah disebabkan oleh jenis beras yang menjadi makanan ruji di sesebuah negeri berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh pihak MAIN dan AMZ serta maklumat
dari pemborong.
4. Terdapat sebahagian negeri yang menetapkan beberapa kadar zakat fitrah. Berapakah nilai sebenar yang perlu dibayar?
Secara umumnya, bayaran yang ditunaikan mengikut kadar harga beras yang dimakan oleh majoriti masyarakat setempat adalah memadai.
Walau bagaimanapun, sekiranya sesebuah keluarga atau individu ingin memilih kadar yang lebih tinggi, sepadan dengan jenis beras yang menjadi makanan ruji mereka, maka dalam hal ini Dr Yusuf al-Qaradhawi berpandangan ia adalah dari kerelaan hati dan dianggap sebagai suatu bentuk ketaatan tambahan yang terpuji.
Namun, bagi golongan yang kemampuan ekonominya terjejas disebabkan PKP dan situasi Covid-19 ketika ini, bayaran zakat fitrah boleh ditunaikan berdasarkan kadar minimum yang telah ditetapkan oleh pihak MAIN dan AMZ mengikut kemampuan diri dan keluarga.
Dalam hal ini, para pembayar bolehlah melayari laman media sosial MAIN dan AMZ bagi mendapatkan perincian berhubung kadar bayaran fitrah yang telah ditetapkan.
5. Apakah pilihan kaedah pembayaran bagi mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi atau tidak mempunyai capaian internet?
Perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil yang dilantik masih disediakan oleh hampir kesemua MAIN dan AMZ, namun ia akan dilaksanakan pada tahap yang minimum. Mekanisme pelaksanaan ini akan diselaras sewajarnya sesuai dengan PKP yang sedang berkuat kuasa.
Walau bagaimanapun, bagi negeri yang tidak menyediakan perkhidmatan bayaran fitrah melalui amil maka para pembayar perlulah merujuk pihak MAIN dan AMZ selaku pihak berkuasa agama negeri.
6. Seandainya kaedah pembayaran secara manual masih dilaksana, adakah langkah berjaga-jaga masih perlu dilaksanakan?
Ya, segala arahan dan tatacara kawalan yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih perlu dilaksanakan.
Lokasi-lokasi pembayaran zakat fitrah yang telah dikenal pasti oleh pihak MAIN dan AMZ adalah bersesuaian dan mengambil kira elemen penjarakan sosial yang selamat.
Selain itu, terdapat beberapa mekanisme pelaksanaan yang dicadangkan. Antaranya, bayaran secara pandu lalu (drive thru), kutipan dari rumah ke rumah dan sebagainya.
Proses pembayaran juga perlulah diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Selain itu, para pembayar dan amil adalah DINASIHATKAN untuk sentiasa menjaga kebersihan, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman. Para pembayar juga digalakkan untuk menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar setelah selesai urusan
pembayaran.
7. Adakah amil yang memungut zakat perlu patuh pada arahan tersebut?
Ya, setiap amil fitrah yang dilantik adalah tertakluk kepada arahan dan tatacara kawalan yang telah ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM. Mereka juga terikat dengan tatacara yang digariskan oleh pihak MAIN dan AMZ.
8. Jika amil atau pembayar dalam keadaan tidak sihat, adakah mereka dibenarkan untuk keluar bagi mengutip atau menunaikan zakat?
Sekiranya amil atau pembayar berada dalam keadaan kurang sihat, maka mereka tidak dibenarkan memungut atau menunaikan zakat fitrah pada waktu itu.
Selain itu, mana-mana individu yang disahkan positif Covid-19 atau baru sembuh Covid-19 atau termasuk dalam kategori Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau Person Under Surveillance (PUS) yang ingin menunaikan kewajipan zakat fitrah hendaklah mewakilkan pembayaran kepada ahli keluarga atau waris yang sihat.
9. Adakah perkhidmatan kaunter zakat fitrah di tempat tumpuan awam seperti pasar raya masih disediakan?
Tidak. Hal ini adalah selaras dengan arahan PKP yang sedang berkuat kuasa iaitu larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai.
10. Bagaimanakah saya boleh mendapatkan maklumat lanjut dan terkini berhubung zakat fitrah 1441H/2020M?
Sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan berkenaan pelaksanaan fitrah 1441H/2020M bolehlah merujuk halaman rasmi media sosial MAIN dan AMZ sebagaimana berikut:
https://www.facebook.com/zakatjohor/
Kedah - Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman
https://www.facebook.com/zakatkedah/
Kelantan - Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan
https://www.facebook.com/maikkelantanofficial/
Melaka - Zakat Melaka
https://www.facebook.com/zakatmelaka/
Negeri Sembilan - Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan MAINS https://www.facebook.com/perbadananbaitulmalns/
Pahang - Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang
https://www.facebook.com/muipinfo
Perak - Zakat Perak-MAIPk
https://www.facebook.com/ZakatNegeriPerak/
Perlis - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
https://www.facebook.com/MajlisAgamaIslamPerlis/
Pulau Pinang - Zakat Pulau Pinang
https://www.facebook.com/zakatpenang/
Selangor - Lembaga Zakat Selangor
https://www.facebook.com/zakatselangor/
Terengganu - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu-Official
https://www.facebook.com/maidamterengganu/
Sabah - Bahagian Zakat & Fitrah MUIS
https://www.facebook.com/bzfmuis/
Sarawak - Tabung Baitulmal Sarawak
https://www.facebook.com/Tabung-Baitulmal-Sarawak110233099029503
Wilayah Persekutuan - Pusat Pungutan Zakat
https://www.facebook.com/myzakat
#bayaran zakat
#COVID-19
#Jabatan Perdana Menteri
#JAWHAR
#koronavirus
#perintah kawalan pergerakan
#PKP