Normal baharu: Bayar zakat fitrah secara online - JAWHAR
Bernama
April 20, 2020 04:01 MYT
April 20, 2020 04:01 MYT
Kesemua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat (AMZ) mengoptimumkan kaedah pembayaran zakat fitrah secara dalam talian bagi memudahkan pembayar menunaikan kewajipan dengan lebih pantas dan selamat.
Menurut kenyataan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri, orang ramai boleh merujuk laman sesawang Majlis Agama Islam negeri masing-masing untuk mengetahui mekanisme pembayaran zakat fitrah secara dalam talian dengan lebih lanjut.
Dalam pada itu, MAIN dan AMZ masih menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui amil bagi membantu mereka yang tidak mahir menggunakan teknologi atau tidak mempunyai capaian internet namun pelaksanaannya adalah minimum.
"Bagi individu yang disahkan positif COVID-19 atau baharu sembuh daripada wabak itu, termasuk dalam kategori Pesakit Dalam Siasatan (PUI) dan Individu Di Bawah Pengawasan (PUS) yang ingin menunaikan kewajipan zakat fitrah hendaklah mewakilkan pembayaran kepada ahli keluarga atau waris yang sihat.
"Mekanisme pelaksanaan ini akan diselaras sewajarnya sesuai dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang sedang berkuat kuasa.
"Bagaimanapun, bagi negeri yang tidak menyediakan perkhidmatan bayaran fitrah melalui amil maka para pembayar perlulah merujuk pihak MAIN dan AMZ selaku pihak berkuasa agama negeri," menurut soalan lazim (FAQ) berkaitan dengan pembayaran zakat fitrah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Segala arahan dan tatacara kawalan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu dilaksanakan.
Lokasi pembayaran zakat fitrah dikenal pasti oleh pihak MAIN dan AMZ adalah bersesuaian dan mengambil kira elemen penjarakan sosial yang selamat.
Proses pembayaran juga perlu diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Para pembayar dan amil adalah dinasihatkan sentiasa menjaga kebersihan, memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan pensanitasi tangan.
"Para pembayar digalakkan menyediakan wang secukupnya, tidak perlu bersalaman ketika membayar zakat dan segera beredar setelah selesai urusan pembayaran.
"Setiap amil fitrah dilantik tertakluk kepada arahan dan tatacara kawalan yang ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM. Mereka juga terikat dengan tatacara digariskan oleh MAIN dan AMZ.
"Sekiranya amil atau pembayar berada dalam keadaan kurang sihat, mereka tidak dibenarkan memungut atau menunaikan zakat fitrah pada waktu itu," jelasnya.
Perkhidmatan kaunter zakat fitrah di tempat tumpuan awam seperti pasar raya tidak disediakan dan ia selaras dengan arahan PKP yang sedang berkuat kuasa iaitu larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai.
Terdapat beberapa mekanisme pelaksanaan yang dicadangkan iaitu bayaran secara pandu lalu, kutipan dari rumah ke rumah dan sebagainya.
-- BERNAMA
#Agensi Mengurus Zakat
#Islam
#keselamatan
#kesihatan
#koronavirus
#MAIN
#Majlis Agama Islam Negeri
#zakat fitrah