Normal baharu alam sekitar: Tiba masanya piawai, SOP kenderaan diteliti
Dr Noor Dzuhaidah Osman, Wan Idrus Wan Sabli
Jun 19, 2020 12:42 MYT
Jun 19, 2020 12:42 MYT
HARI Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun lalu bertemakan ‘Masa Untuk Alam Sekitar’ adalah penting untuk kita meningkatkan kefahaman dan kesedaran penjagaan alam sekitar.
Salah satu aspek penting dalam penjagaan alam sekitar ialah pencemaran akibat asap kenderaan.
Menurut pengamatan, pemerhatian dan pembacaan penulis semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19, kadar pencemaran alam sekitar akibat asap kenderaan amat berkurangan.
Ia susulan arahan kerajaan supaya banyak industri ditutup dan ramai pekerja bekerja dari rumah sekali gus kurangnya kenderaan di jalan raya.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia seperti Sungai Melaka yang kelihatan jernih, selain udara Kuala Lumpur yang menjadi lebih segar, malah juga di tempat-tempat lain di seluruh dunia.
Lihatlah di Venice, New Delhi, Gunung Everest dan pelbagai kawasan pelancongan terkenal di dunia; situasinya hampir sama.
Melihat keadaan ini, penulis menyeru - sudah sampai masanya Malaysia mencapai pencemaran sifar hasil asap-asap kenderaan dengan mewujudkan beberapa normal baharu mengikut amalan dan tradisi negara-negara yang bersih alam sekitarnya.
Pencemaran asap yang kurang sihat dilihat berpunca dari kenderaan-kenderaan spesifikasi lama seperti lori, bas, kereta dan motosikal lama yang masih mengeluarkan asap yang banyak di jalan raya.
Oleh itu, beberapa langkah disarankan kepada pihak berwajib berkaitan alam sekitar agar melaksanakan penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang baharu untuk permasalahan yang berlarutan sejak sekian lama ini.
Jika dibandingkan spesifikasi kenderaan masa kini, ia jauh lebih mesra alam sekitar berbanding kenderaan dahulu.
WUJUDKAN PIAWAI KENDERAAN INDUSTRI
Antara masalah adalah kenderaan lama yang mengeluarkan asap, terutamanya yang membawa hasil komoditi negara seperti getah dan kelapa sawit masih berleluasa, selain berada dalam keadaan tidak selamat.
Ada yang lebih muatan hingga seakan mahu tergolek di jalan raya. Ini meningkatkan risiko kemalangan jalan raya selain masalah pencemaran alam sekitar.
Jika negara mahu mencapai tahap seperti negara maju, maka hal-hal sebegini seharusnya tidak terlepas pandang.
Di negara yang mengusahakan pelbagai industri berat seperti Jerman, lori-lori di sana mengikut piawai dan prosedur operasi standard, begitu juga pemandunya.
Malah, lori dari Jerman yang mahu memasuki Dover melalui pelabuhan Calais di Perancis yang menghubungkan Perancis dan England kelihatan gah di atas ‘autobahn’ dengan spesifikasi yang bagus dan mesra alam sekitar.
Penulis membandingkan hal sebegini bukan bertujuan merendahkan mana-mana negara, tetapi bertujuan menunjukkan standard antarabangsa yang perlu dicapai mana-mana negara yang ingin memajukan industri seiring penjagaan alam sekitarnya.
Hal sebegini bukanlah mustahil atau di luar jangkauan, sebaliknya ia boleh dipraktikkan.
Jika Malaysia boleh membuat dan memasarkan kereta nasional ke persada antarabangsa, maka keadaan kenderaan di dalam negara haruslah hebat juga.
Beberapa praktis negara-negara lain perlu diambil kira pihak berwajib dalam melaksanakan pengurangan asap kenderaan.
WAJIB PEMERIKSAAN PUSPAKOM
Salah satu cadangan ialah kenderaan lama perlu disemak semula oleh PUSPAKOM secara telus dan berkala.
Ia bagi memastikan setiap kenderaan yang ada cukai jalan di Malaysia berada dalam keadaan yang baik dan tidak menyumbang pencemaran asap kenderaan.
Bagi kenderaan yang mengeluarkan banyak asap hitam, satu pelan penambahbaikan perlu dilakukan. Kenderaan tersebut juga mungkin sudah sepatutnya diklasifikasikan tidak patut berada di jalan raya lagi.
Praktis ini sepatutnya tidak terhad bagi kereta yang sudah lama tidak diperbaharui cukai jalan, tetapi juga kenderaan lama terutamanya yang mengeluarkan banyak asap.
Semakan kenderaan tahunan bukanlah perkara baharu kerana negara seperti Britain menjalankan ujian secara tahunan yang wajib bagi setiap kenderaan yang ingin memperbaharui cukai jalan.
Malah Britain mengorak selangkah ke hadapan dalam hal cukai jalan. Ia kini sudah tidak perlu dipapar di kenderaan tetapi boleh disemak secara atas talian oleh penguatkuasa seperti polis dan DVLA UK.
KEMPEN GO GREEN
Bandar-bandar besar dunia seperti London sudah mengamalkan polisi kempen hijau (go green) dengan hanya membenarkan kenderaan yang memenuhi spesifikasi tertentu sahaja memasuki ke zon-zon tertentu dalam London.
Praktis sebegini mungkin boleh diamalkan di bandar-bandar besar di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Malaysia yang kini hampir menuju ke visinya untuk menjadi negara maju dengan mempunyai mega biodiversiti ke-12 di dunia, maka alam sekitar perlulah juga maju ke hadapan juga.
Pencemaran akibat asap kenderaan ini akan menyebabkan jerebu, menipiskan lapisan ozon, meningkatkan suhu dunia.
WAJARKAH CAJ KESESAKAN DILAKSANA?
Dahulu pernah timbul ura-ura untuk mengenakan ‘caj kesesakan’ (congestion charge) di bandar Kuala Lumpur seperti dikenakan kota London.
Penulis mengandaikan saranan tersebut pramatang tanpa kajian yang mendalam antara kota London dan Kuala Lumpur.
Sekali imbas banyak perbezaan antara keduanya jika mahu dijalankan caj kesesakan.
Pertama, rakyat Malaysia mempunyai anak yang lebih ramai berbanding rakyat UK di mana rata-ratanya hanya ada satu atau dua anak sahaja sekeluarga, manakala rakyat Malaysia mempunyai lebih dari dua anak.
Apabila caj kesesakan awam dikenakan, ia sekali gus memaksa rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Bagi mereka yang berkeluarga mahu berjalan-jalan di Kuala Lumpur, maka mereka terpaksa membayar lebih untuk menggunakan tren berbanding di London yang mana penggunaan tren untuk kanak-kanak adalah percuma.
Malaysia adalah sebuah negara khatulistiwa yang panas yang mana berjalan kaki bukanlah satu pilihan yang selesa, tidak seperti di London.
Berjalan jauh antara stesen tren pun tidak mengapa di London kerana sejuk.
Ditambah lagi dengan hentian tren Malaysia yang terkadang memerlukan pengguna menaiki bas perantara untuk ke sana ke sini.
Maka saranan terutamanya bagi yang berkeluarga untuk menggunakan pengangkutan awam, amatlah tidak selesa ditambah lagi dengan anak kecil.
LUPUS KENDERAAN LAMA PERLU DITELITI
Begitu juga saranan melupuskan kereta berumur seperti amalan Singapura. Maka saranan sebegini secara dasarnya nampak bagus, tetapi kajian haruslah melibatkan akar umbi, mengkaji keberkesanan perlaksanaannya dari kaca mata rakyat marhaen dan bukan sahaja dari kaca mata pembuat polisi dan dasar sahaja.
Maka norma-norma baharu dalam menjaga alam sekitar berpunca pencemaran kenderaan perlulah dikaji dan diberi nafas baharu.
PKP semasa COVID-19 mewujudkan pelbagai ruang uji kaji pelbagai aspek.
Jika peluang menggubal dasar tidak diambil, maka masih adakah kesempatan seperti ini pada masa akan datang untuk mewujudkan keharmonian dalam alam sekitar agar kita bebas asap pencemaran.
* Dr.Noor Dzuhaidah Osman merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang memfokuskan bidang bio-keselamatan.
** Wan Idrus Wan Sabli merupakan jurutera dan Eksekutif Kanan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Petronas Chemicals Group Berhad
*** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#alam sekitar
#asap kenderaan
#jerebu
#kemalangan
#norma baharu alam sekitar
#pelancongan
#pencemaran udara
#perintah kawalan pergerakan
#pinda undang-undang
#PKP
#Puspakom
#undang-undang