Normal Baharu: Aidilfitri mungkin tidak sama, orang Sarawak perlu bersedia
Astro Awani
Mei 1, 2020 16:17 MYT
Mei 1, 2020 16:17 MYT
Sambutan Aidilfitri tahun ini berkemungkinan besar akan disambut dengan cara berbeza dengan ketiadaan beberapa aktiviti lazim pada sambutan tersebut.
Menurut Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, sekiranya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, orang ramai diminta bersedia untuk menyambut Aidilfitri dengan cara normal baharu.
“Kita mungkin tidak berpeluang melakukan solat Aidilfitri di masjid dan tiada aktiviti ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah pada hari raya.
“Malah, sekarang kita hanya perlu membeli barang secara bersederhana kerana tidak perlu menyediakan juadah secara besar-besaran buat tetamu yang datang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar sentiasa menitik-beratkan setiap arahan yang dikeluarkan kerajaan terutamanya ketika tempoh PKP ini.
“Kita tidak tahu siapa yang menjadi pembawa kepada virus ini dan aktiviti perhimpunan boleh menyebabkan virus ini tular.
“Pihak kami bimbang kerana terdapat berita berkenaan ‘silent carrier’ di sesetengah negara dan mereka ini tidak mempunyai sebarang simptom,” jelasnya dalam satu temu bual khas bersama AWANI Sarawak.
Sementara itu, beberapa warga Bumi Kenyalang yang ditemui meluahkan rasa sedih, namun akur dengan setiap keputusan yang dikeluarkan kerajaan.
Jelas pekerja sambilan, Mohamad Jasnie Hassim, dirinya akur dan percaya ini adalah cara terbaik bagi menghentikan pandemik ini.
“Ini kali pertama kita menyambut Syawal tanpa bersalaman. Tetapi oleh kerana keadaan yang memaksa di mana virus ini mudah berjangkit dengan sentuhan, jadi kita harus peka dengan keadaan semasa,” luahnya.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi
#Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara
#normal baharu
#Perdana Menteri
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#PKPB
#Tan Sri Muhyiddin Yassin