TERDAPAT banyak cara lain untuk masyarakat menyambut perayaan dan tidak hanya kekal dengan cara biasa tatkala kebanyakan negara dalam dunia mempraktikkan normal baharu.

Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng berkata meskipun masyarakat kini mungkin berdepan kesusahan susulan normal baharu namun beliau percaya ada hikmah di sebalik semuanya.

“Ada beberapa hikmah di sebalik kesusahan yang berlaku sekarang. Yang pertama ada banyak cara lain untuk kita sambut hari raya bukan untuk tahun ini sahaja tapi untuk tahun-tahun akan datang juga.

“Kenapa tahun akan datang? Kerana penamatnya akan datang apabila ada vaksin atau ubat yang terbukti berkesan untuk menyembuhkan COVID-19 tapi vaksin itu tidak akan datang dalam masa terdekat.

“Kemungkinan kita perlu sambut hari raya, Krismas, Deepavali dan sebagainya dalam cara ini pada dua ke tiga tahun akan datang,” katanya.


Tambah beliau, meskipun dengan cara baru tetapi ia bukanlah bermaksud masyarakat tidak dapat menzahirkan kasih sayang mereka kepada keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan.

“Salah satu cara untuk kita tunjukkan kasih sayang adalah dengan tidak mengunjungi mereka terutamanya warga emas dan mereka yang berisiko tinggi.

“Satu lagi hikmahnya adalah untuk menyambut dan tunjukkan kasih sayang kita kepada keluarga dan seisi rakyat Malaysia dengan cara lain tapi niatnya masih kekal,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Swee Kheng berpendapat kepercayaan kepada agama, budaya, adat, tradisi dan aspek sosial amat penting (dalam membendung pandemik COVID-19.

“Pandemik ini tidak boleh dibendung secara saintifik atau di hospital oleh pakar perubatan sahaja, ia memerlukan kerjasama daripada seluruh masyarakat.

“Kefahaman sains dengan kefahaman budaya, agama akan bercampur-baur tetapi ia tidak bercanggah sebaliknya akan diintegrasikan untuk membendung pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi webinar yang dibawakan secara langsung oleh Astro AWANI yang membincangkan tajuk "Aidilfitri dan COVID-19: Beraya Secara Berhemah" pada Rabu.

Webinar tersebut dikelolakan Editor Kanan Astro AWANI, Dzulfitri Yusop dan disertai ahli panel iaitu Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin, Pakar Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Aidalina Mahmud dan Aktivis Sosial, Syed Azmi.