Norma baharu pasca COVID-19 buka ruang terokai IR4.0
Madiha Abdullah
Ogos 26, 2020 22:00 MYT
Ogos 26, 2020 22:00 MYT
Era norma baharu semestinya membawa cabaran bagi syarikat tempatan khususnya dalam aspek penerokaan bidang atau pasaran baharu.
Namun ia perlu dilihat dari sudut positif, terutamanya bagaimana situasi semasa hari ini, membuka pintu yang lebih luas bagi pemahaman dan penerokaan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Hal itu diakui Pengerusi Eksekutif baharu Minetech Resources Bhd, Datuk Awang Daud Awang Putera yang menyifatkan pasca COVID-19 boleh membawa dimensi baharu dalam bidang perniagaan.
"Sememangnya satu cabaran bagi semua yang terlibat dalam dunia perniagaan. Kita perlu menjadi lebih proaktif.
"Sebenarnya, dalam situasi pandemik ini, kita ada peluang untuk meningkatkan kebolehan dan pengetahuan kita dalam pengendalian perniagaan menerusi dalam talian dan secara tidak langsung meningkatkan fokus kepada elemen Revolusi Perindustrian 4.0," ujarnya.
Beliau yang juga pengasas bersama Serba Dinamik Holdings Bhd berkata, pengalaman yang dimiliki akan digunakan bagi penambahbaikan dari sudut penyelidikan dan pembangunan.
"Kita akan lakukan penambahbaikan dari segi R&D, dan kedua dari segi aset. Di Minetech, saya nampak mereka tak ada hala tuju dan bimbingan yang jelas.
"Dengan kedatangan kita dan pengalaman saya, saya percaya kita boleh perbaiki corak pemikiran mereka," katanya lagi.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran logo baharu Minetech di sini, pada Rabu.
Logo baharu yang menggabungkan kombinasi huruf M dan T dengan warna korporat kuning, membuka satu lembaran baharu buat syarikat itu dan disasarkan untuk mentransformasikan syarikat serta memanfaatkan potensinya.
#COIVD-19
#Datuk Awang Daud Awang Putera
#koronavirus
#Minetech
#pandemik
#perniagaan
#Revolusi Perindustrian 4 0
#Serba Dinamik