Noraini mahu kemudi KPT selaras dengan amanah Perdana Menteri

Bernama
Mac 10, 2020 23:42 MYT
Noraini bersalaman dengan warga kementerian sejurus tiba pada hari pertamanya di Kementerian Pengajian Tinggi di Putrajaya, 10 Mac, 2020. --fotoBERNAMA
Menteri Pengajian Tinggi yang baharu dilantik, Datuk Dr Noraini Ahmad bertekad untuk mengemudi kementerian itu selaras dengan apa yang diamanahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berterima kasih kepada Muhyiddin yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin kementerian itu, Noraini berkata Perdana Menteri mahukan gerak kerja menjadi lebih fokus sejajar dengan langkah pengasingan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
"InsyaAllah kita akan cuba untuk mencapai apa jua yang diamanahkan oleh beliau," katanya kepada media ketika memasuki pejabatnya di KPT di sini selepas menghadiri istiadat mengangkat sumpah di Istana Melawati, Putrajaya.
Noraini mahu melihat prestasi pengajian tinggi meningkat di peringkat antarabangsa dan dalam negara.
Katanya beliau akan mendengar taklimat daripada ketua setiausaha kementerian mengenai hala tuju kementerian itu.
BACA: SPM 2019: PM rakam tahniah, ikrar tingkat kualiti sistem pendidikan negara
BACA: UPSI sokong cadangan PM dua kementerian berkaitan pendidikan
BACA: Demi maruah UMNO, Ahmad Zahid harus ada dalam Kabinet - Dr Noraini
Noraini telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen berkuat kuasa Selasa selepas dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.
Ahli Parlimen Parit Sulong itu menerusi satu kenyataan memaklumkan surat peletakan jawatan sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
-- BERNAMA
#Ahli Parlimen Parit Sulong #gerak kerja #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #Kementerian Pendidikan #Kementerian Pengajian Tinggi #letak jawatan #Menteri Pengajian Tinggi #Muhyiddin Yassin #noraini ahmad #pendidikan #pengajian tinggi #Perdana Menteri