Noraini junjung kasih kepada TMJ, bincang pembangunan pengajian tinggi

Bernama
April 24, 2022 04:00 MYT
Menurut Noraini, barisan pengurusan kementerian itu juga amat terharu dan berbangga kerana Tunku Ismail amat prihatin mengenai perkara melibatkan pengajian tinggi. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berkenan menerima menghadap barisan pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi pada Ahad.
Menerusi catatan di laman Facebook, beliau berkata beberapa agenda dibincangkan pada istiadat menghadap itu yang menjurus kepada pembangunan sektor pengajian tinggi di negara ini khususnya di Johor.
"Menjunjung setinggi-tinggi kasih terhadap Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, kerana menerima menghadap barisan pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.
Menurut Noraini, barisan pengurusan kementerian itu juga amat terharu dan berbangga kerana Tunku Ismail amat prihatin mengenai perkara melibatkan pengajian tinggi terutama kebajikan pelajar secara keseluruhan.
"Jelaslah, ini menunjukkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku sentiasa mengambil tahu mengenai perkara-perkara melibatkan rakyat. Semoga Allah SWT akan terus merahmati Duli Yang Amat Mulia Tunku dan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya. Amin. Menjunjung kasih Tunku," katanya.
Beliau turut berkongsi beberapa keping gambar semasa pertemuan itu.
-- BERNAMA
#noraini ahmad #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #TMJ #barisan pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi
;