Nooryana Najib akui Leissner bantu dapatkan kerja pelatih di firma London
Sinar Harian
Februari 24, 2022 18:09 MYT
Februari 24, 2022 18:09 MYT
SHAH ALAM: Anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa Najib mengakui bahawa ada cuba memohon pekerjaan di Goldman Sachs sebelum ini.
Malah, dia juga sempat bertemu dengan profesional perbankan kanan seperti Roger Ng dan Tim Leissner untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya dan sebagai sebahagian daripada usaha rangkaiannya untuk mendapatkan pekerjaan yang kompetitif.
Bagaimanapun, dia dimaklumkan ia mungkin menjadi konflik berkepentingan memandangkan bank pelaburan itu menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia.
“Ya, saya ada bertanya tentangnya dan diberitahu bahawa Goldman Sachs menjalankan perniagaan dengan kerajaan Malaysia dan ia boleh menjadi konflik kepentingan.
“Tim Leissner kemudiannya memperkenalkan saya kepada kumpulan pengumpulan dana di TPG iaitu sebuah firma ekuiti persendirian global. Mengumpul dana pelaburan daripada pelabur institusi strategik (terutamanya dana pencen dan dana kekayaan negara), yang mana ia bersesuaian dengan latar belakang saya. Saya kemudiannya ditemu duga untuk jawatan pelatih penganalisis di pejabat TPG London.
“Ya, saya seorang pelatih. Selain skop kerja teras saya juga bertanggungjawab untuk ‘spadework. Anda adalah gadis powerpoint, gadis fotostat, gadis kopi dan gadis penghantar,” katanya dalam coretan di Facebook pada Rabu.
Nooryana berkata, secara peribadi dia mempunyai minat yang mendalam dalam dasar kerajaan dan luar negara memandangkan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Politik Antarabangsa dan Dasar Luar dari Universiti Georgetown, Washington DC).
Disebabkan itu, dia ingin mendapatkan pekerjaan berkaitan dengan dasar kewangan dan kerajaan.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN