Noor Farida ikon undang-undang yang banyak berjasa kepada negara

Bernama
Jun 28, 2024 08:45 MYT
Dari kiri, Ahmad Terriruddin, Akberdin dan Zaki, antara pengamal undang-undang dan badan kehakiman yang mengakui Allahyarham Noor Farida sebagai ikon undang-undang atas jasa yang dicurahkan sepanjang kariernya.
KUALA LUMPUR: Pemergian bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Noor Farida Ariffin, 76, semalam cukup memberi kesan dalam kalangan pengamal undang-undang dan badan kehakiman yang menyifatkan Allahyarham sebagai ikon undang-undang atas jasa yang dicurahkan sepanjang kariernya dalam bidang berkenaan.
Peguam Negara Datuk Ahmad Terriruddin Mohd Salleh berkata Noor Farida yang memulakan kerjayanya di Jabatan Peguam Negara pada 1971 merupakan seorang pegawai undang-undang yang sangat cemerlang serta disegani oleh warga jabatan.
"Kecemerlangan arwah di Jabatan Peguam Negara terutama dalam bidang undang-undang antarabangsa telah menjadikan beliau dihormati dan diberi peluang mengembangkan kerjaya di Kementerian Luar Negeri.
"Karier arwah di bawah Kementerian Luar Negeri menjadi sinar kegemilangan buat negara kerana beliau telah memberikan komitmen tinggi dalam arena hubungan antarabangsa," katanya.
Beliau berkata di sebalik kewibawaan yang ditonjolkan, Noor Faridah cukup disenangi serta dikasihi rakan-rakan sekeliling kerana keperibadiannya yang mesra, sederhana dan menyenangkan.
"Kerana itu... pemergian Allahyarham pastinya suatu kehilangan yang amat dirasai, " katanya.
BACA: Allahyarham Noor Farida selamat dikebumikan
BACA: Noor Farida bekas duta besar ke Belanda cukup dikenali ketokohannya
BACA: Bekas duta besar ke Belanda Noor Farida meninggal dunia
Sementara itu peguam Datuk Akberdin Abdul Kader menyifatkan Allahyarham Noor Farida seorang yang sangat berprinsip dan lantang menyuarakan isu-isu membabitkan kepentingan negara dan masyarakat.
"Allahyarham seorang yang lantang bersuara dengan prinsip "no holds barred approach' dan 'fearlessly outspoken' antaranya dalam isu Pulau Batu Putih. Noor Farida antara yang lantang bersuara untuk menuntut hak negara," kata peguam itu.
Ketegasan Noor Farida turut dipersetujui peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang menyifatkan Allahyarham sebagai tokoh wanita Malaysia yang cukup berjasa dalam sektor diplomatik dan undang-undang.
Sementara itu bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi berkata beliau amat menghormati Allahyarham disebabkan pandangannya terhadap beberapa isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia dan kepentingan awam.
Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang senada dengan pandangan itu menggambarkan Allahyarham sebagai seseorang berprinsip dan menjunjung integriti dalam perkhidmatan awam.
Allahyarham Noor Farida merupakan seorang daripada pengasas bersama kumpulan bekas penjawat awam kanan G25.
-- BERNAMA
#Noor Farida Ariffin #pengamal undang-undang #bekas duta besar ke Belanda #kehakiman
;