Nombor siri DDV 1 catat bidaan tertinggi, hasil kutipan cecah RM1.98 juta
Bernama
September 23, 2020 13:20 MYT
September 23, 2020 13:20 MYT
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekod kutipan bidaan mencecah RM1.98 juta melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) melibatkan nombor siri pendaftaran kenderaan DDV.
Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata bidaan yang dibuka selama lima hari bermula 17 Sept lepas, melangkaui jangkaan sasaran awal iaitu RM1.5 juta dan ia merupakan kutipan tertinggi siri nombor pendaftaran semenjak JPJeBID diperkenalkan bagi Kelantan.
Beliau berkata nombor pendaftaran DDV 1 mendapat bidaan tertinggi sebanyak RM250,000 yang melibatkan 11 pembida dan sehingga kini ia merupakan harga bidaan JPJeBID tertinggi bagi seluruh negara pada tahun ini.
"Bidaan kedua tertinggi ialah DDV 8 bernilai RM60,000; diikuti DDV 9 (RM60,000); DDV 5 (RM58,888), DDV 2 (RM50,000); DDV 3 (RM47,000); DDV 6 (RM45,000); DDV 7 (RM41,000); DDV 11 (RM33,000) dan DDV 111 (RM33,000).
"Bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBid pada masa tarikh tutup siri adalah seramai 263,631 dengan melibatkan 1,909 pembida dan daripada jumlah itu hanya 963 pembida yang berjaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hanif berkata mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.
Jelasnya, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli oleh orang awam mengikut harga minima.
"Harga bidaan akan mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu kategori nombor bernilai utama dengan nilai RM20,000; nombor menarik (dua digit) RM3,000; nombor menarik (tiga digit) RM2,500; nombor menarik (empat digit) RM2,000; nombor popular RM500 dan nombor semasa bernilai RM300.
"Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini, boleh berurusan di pejabat JPJ negeri atau cawangan.
"Selain itu, orang awam juga disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara atas talian," katanya.
-- BERNAMA
#bidaan
#bidaan tertinggi
#DDV
#Hanif Yusabra Yusuf
#harga bidaan
#harga minima
#JPJ
#JPJeBid
#Kelantan
#kenderaan
#mySIKAP awam
#nombor pendaftaran
#nombot plet
#pendaftaran
#surat tawaran