Nombor plat kereta kes belasah terus tular di media sosial
Astro Awani
Januari 22, 2017 09:35 MYT
Januari 22, 2017 09:35 MYT
Penularan nombor plat kereta yang dipercayai terlibat dalam kes belasah baru-baru ini, di media sosial, seolah-olah tidak boleh dihentikan.
Ia berikutan ramai warga media sosial memuat naik beberapa gambar beserta nombor plat sebuah kereta yang dilihat berkait dengan insiden yang melibatkan seorang pemandu lori, yang berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa.
Ada dalam kalangan netizen membuat naik satu status berserta gambar yang menunjukkan dua individu sedang memandikan jenazah yang disertakan nombor plat kereta Mercedes berwarna perak, yang dipercayai terlibat membelasah pemandu lori dalam insiden berkenaan.
Sebelum ini polis menasihatkan orang ramai agar berhenti menyebarkan nombor plat kenderaan Mercedes Benz yang terbabit dalam kes seorang pemandu lori dibelasah sekumpulan individu di tempat letak kereta kondominium Puncak Anthenaneum, Bukit Antarabangsa dekat sini, Sabtu lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata polis sedang menjalankan siasatan dan akan mengenakan tindakan sewajarnya ke atas mereka yang disyaki terlibat.
"Orang ramai tidak perlu risau kerana polis melihat perkara ini secara serius...walaupun mereka mendakwa kedua-dua belah pihak telah menyelesaikan perkara itu namun polis masih menyiasat dan akan mengenakan tindakan tegas," katanya.
Pada Khamis lalu, sebuah video tular di media sosial yang menunjukkan seorang pemandu lori dibelasah teruk oleh sekumpulan lelaki yang didakwa tidak berpuas hati dengan insiden yang tidak dapat dielakkan itu.
Kereta mewah tersebut dipercayai milik seorang 'Datuk'.
Polis buru empat lelaki pukul pemandu lori