'Noktah miskin tegar bukan bermaksud tiada kemiskinan dalam negara' - Rafizi
Hasimi Muhamad
Mac 14, 2024 13:42 MYT
Mac 14, 2024 13:42 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 80,000 isi rumah, yang merupakan golongan miskin tegar yang berdaftar sebagai penerima bantuan dalam sistem eKasih telah dibersihkan daripada sistem tersebut, setakat hujung tahun lalu.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, angka sebenar kumpulan miskin tegar dijangka diperolehi selepas Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dikemas kini sepenuhnya.
"eKasih perlu dibersihkan dan dikemaskini daripada satu masa ke satu masa sebab itu kita memastikan semua data-data ini digabung dalam PADU.
"Apabila sesebuah keluarga itu masuk ke dalam eKasih dan disyaratkan untuk mendapat bantuan kerajaan, mesti berada dalam ekasih.
"Ada keadaan yang dia (miskin tegar) sebenarnya tak nak keluar dalam eKasih sebab itu angka (miskin tegar) buat macam mana pun, kalau berdasarkan eKasih dia tak turun," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) yang bertanyakan berapakah jumlah miskin tegar yang telah dikenal pasti di bawah program eKasih, selain meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan menoktahkan miskin tegar.
Mengulas lanjut, Rafizi (PH-Pandan) berkata konsep menoktahkan miskin tegar dibuat berdasarkan laporan kadar kemiskinan tegar di seluruh negara setiap tahun.
"Contoh tahun 2022, 18,445 keluarga miskin tegar di seluruh negara dan ini adalah laporan rasmi negara kepada dunia. Maknanya program kerajaan yang dipantau secara rasmi menunjukkan bahawa 18,445 keluarga telah dikeluarkan (daripada miskin tegar).
"Sudah tentu dari satu tahun ke satu tahun (angka itu akan berubah) kerana garis kemiskinan tegar itu berubah. Jadi kita kena lihat pada pelaporan miskin tegar pada tahun itu dan itu lah dijadikan sasaran oleh kerajaan untuk mengeluarkan sejumlah itu setiap tahun. Kalau ada 20,000 (miskin tegar), maka 20,000 lah akan dikeluarkan.
"Bukannya bermakna menoktahkan miskin tegar bermaksud tidak ada miskin dalam sesebuah negara kerana kemiskinan itu adalah relatif. Kalau macam itu, tak payah ada kerajaan... tak payah ada zakat," kata Rafizi.
Jelas beliau, berdasarkan Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi dan Kemudahan Asas 2022, kadar kemiskinan tegar seluruh negara berkurang daripada satu peratus pada tahun 2020 kepada 0.2 peratus atau 18,445 isi rumah pada 2022.
Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha kerajaan ke arah menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini semakin hampir, dengan dua negeri iaitu Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan berjaya mencapai sasaran itu tahun lalu.