Noktah kemiskinan tegar, isu kewarganegaraan dibincang bersama MPN PKR Sabah

Bernama
April 20, 2024 11:20 MYT
Anwar (tengah) bergambar bersama sebahagian ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah dan 26 Ketua Cabang PKR negeri itu. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Menoktahkan kemiskinan tegar dan isu kewarganegaraan di Sabah adalah antara inti pati utama yang dibincangkan bersama Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di sini hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata MPN PKR Sabah telah mengutarakan kepentingan memesatkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu, selain turut menyatakan cadangan untuk mendepani perkara berkenaan.
Turut dibincangkan ialah kepentingan mengukuhkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mengatasi isu kewarganegaraan di Sabah, terutama melibatkan penduduk yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, kata beliau.
"Tentunya (mengatasi isu kewarganegaraan) mengikut syarat telah ditentukan negara kita. Saya terharu apabila nampak fokus itu ada (untuk mengatasi) masalah kemiskinan dan tidak ada kartu (dokumen) yang sah," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan khas dengan MPN PKR Sabah di sini yang turut dihadiri Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek juga Menteri Pendidikan, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi, dan Pengerusi MPN PKR Sabah Datuk Dr Sangkar Rasam.
Turut hadir, 26 Ketua Cabang PKR Sabah antaranya Ketua Cabang PKR Kota Belud Datuk Mustapha Sakmud merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu Datuk Christina Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.
Anwar berkata MPN PKR Sabah turut memberikan pandangan berkenaan dengan isu kepimpinan majlis itu dan sebarang keputusan berkaitan isu terbabit akan dibuat setelah perbincangan bersama kepimpinan di peringkat pusat.
"(Kita) berunding dengan ketua cabang (di Sabah) ... mereka beri pandangan kepada saya untuk pertimbangan (dan) kita akan rujuk kepimpinan pusat. Kepimpinan pusat akan berunding dan buat keputusan," kata beliau.
Ditanya tentang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Anwar berkata perbincangan turut melibatkan persiapan menghadapi pilihan raya berkenaan di peringkat akar umbi dan ranting parti itu, namun tidak mengulas lanjut.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #kemiskinan tegar #isu kewarganegaraan #MPN PKR Sabah
;