Nisa Dottie: Belia jangan emosi
Madiha Abdullah
Mei 18, 2015 14:57 MYT
Mei 18, 2015 14:57 MYT
Antara nama yang menjadi sebutan khususnya di laman Twitter buat masa ini adalah Nisa Dottie. Gadis dengan nama penuh Khairunnisa Dottie Khairudin ini merupakan salah seorang anggota Parlimen Belia dan kini merupakan kurator bagi laman Twitter twt_malaysia kelolaan Twitterjaya.org.
Baru sehari dipertanggungjawabkan sebagai kurator, Nisa sudah diserang dengan pelbagai isu dan pertanyaan. Namun yang pasti, Nisa punya cara tersendiri untuk menangani hal ini.
Dalam jawapannya kepada persoalan mengapa dia memilih menjadi ahli Parlimen Belia, Nisa memberitahu dia mahu melakukan sesuatu dan menjadi 'suara' terutama dalam isu-isu yang sering diberi perhatian oleh golongan belia.
Ketika ditanya kebenaran ahli Parlimen Belia yang dipilih merupakan mereka yang pro kerajaan, Nisa memaklumkan ia tidak benar. Sebaliknya, anggota-anggota dipilih bukan berdasarkan parti atau pandangan politik.
Nisa turut menjelaskan proses pemilihan diadakan melalui proses demokratik seperti biasa, iaitu pencalonan dan pengundian sebelum keahlian diluluskan.
Gadis berusia 26 tahun ini yang dipilih menganggotai jawatankuasa pendidikan dan kerjaya, turut menafikan persidangan Parlimen Belia berlangsung secara tertutup. Kata Nisa, khalayak dibolehkan untuk hadir dan menonton persidangan yang berlangsung.
Tidak melenting apabila diusik dengan soalan dan isu kontroversi, Nisa sebaliknya mahu generasi muda khususnya, membuka mata dan minda dalam menganalisis sesuatu perkara, dan tidak berlandaskan perasaan semata-mata.
Turut diperjelaskan adalah isu elaun kepada ahli Parlimen Belia yang dikatakan dibayar sehingga RM3,000 sebulan. Kata Nisa, Parlimen Belia yang berada di bawah pengurusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hanya diberi bajet untuk melaksanakan program yang dirancang sahaja.
Nisa merupakan ahli Parlimen Belia pertama yang diberi peluang menjadi kurator twt_malaysia, dan akan menguruskan laman Twitter tersebut sehingga hujung minggu ini.