NIOSH peruntuk RM12 juta sedia latihan bantu tangani isu kesihatan mental di tempat kerja
Bernama
Februari 19, 2024 15:22 MYT
Februari 19, 2024 15:22 MYT
KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperuntukkan sejumlah RM12 juta bagi menyediakan latihan secara percuma kepada 10,000 golongan pekerja menerusi program latihan Pertolongan Cemas Kesihatan Mental Pekerjaan tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata program yang julung kali diperkenalkan di negara ini dengan sokongan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Negara itu bertujuan melatih individu berkeupayaan memberikan intervensi awal terutama di tempat kerja kepada rakan sekerja yang menghadapi masalah kesihatan mental.
Beliau berkata ia juga merupakan salah satu usaha kementerian dalam meningkatkan soal perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerja, bukan sekadar dari aspek fizikal, tetapi juga merangkumi kesihatan mental.
"Ini juga soal menghapuskan stigma masyarakat dan tempat kerja mengenai isu kesihatan mental, menerusi program ini kita nak bawa mesej, 'it is okay to seek help', dan saya percaya apabila kita wujudkan satu ekosistem pekerjaan yang kawal kesihatan mental pekerja, maka produktiviti jugak akan bertambah positif.
"Jadi saya harap selain penjawat awam, sektor swasta dan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) juga boleh merebut peluang latihan percuma ini untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, malah mereka (swasta, PMKS) boleh mendapat tuntutan levi daripada HRD Corp selepas selesai latihan ini yang diadakan selama tiga hari," katanya kepada pemberita hari ini.
Steven Sim berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-24 dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali ke-6 bertemakan 'The Future of Work' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
NIOSH sebelum ini pernah memperkenalkan beberapa inisiatif termasuk Program Bantuan Pekerja yang bertujuan membantu mengenal pasti dan menangani masalah kesihatan mental pekerja di peringkat awal agar prestasi kerja tidak terjejas.
-- BERNAMA