NIOSH, JKM Negeri Sembilan tingkat kesedaran penjagaan kesihatan mental warga emas

Bernama
Mac 3, 2024 09:20 MYT
Saupi berkata, pihaknya juga menggalakkan aktiviti menanam pokok untuk menangani tekanan mental yang mungkin disebabkan bebanan kerja atau masalah domestik. - Gambar Bernama
PORT DICKSON: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan mengambil langkah proaktif berkongsi teknik menangani tekanan mental dalam kalangan warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di sini.
Pengurus Kanan Jabatan Pendidikan Latihan dan Pejabat Wilayah NIOSH, Saupi Nazri Mamat berkata menyedari kepentingan penjagaan kesihatan mental terutamanya dalam kalangan warga emas, sukarelawan terlibat mendekati ahli PAWE dan mengajar beberapa modul bantuan awal pertolongan cemas.
"Antara teknik digunakan termasuk teknik pernafasan teratur dan terapi rehat atau tidur sebentar bagi mengurangkan tekanan. Ahli PAWE turut belajar pengetahuan asas mengenal pasti ahli keluarga atau rakan yang mengalami tekanan mental seperti keresahan dan kemurungan.
"Kita juga menggalakkan aktiviti menanam pokok untuk menangani tekanan mental yang mungkin disebabkan bebanan kerja atau masalah domestik. Usaha ini bagi memperkasakan inisiatif berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya kepada Bernama.
Pengarah JKM negeri Rosnah Sardi berkata antara program dijalankan bersama-sama warga emas di sembilan PAWE di negeri ini ialah pemeriksaan dan ceramah kesihatan dengan kerjasama pusat kesihatan terdekat, sesi bersama pegawai kaunselor serta perkongsian ilmu berhubung kesihatan mental.
Rosnah berkata berdasarkan pemerhatian memang terdapat warga emas berisiko kesihatan mental khususnya kemurungan akibat sindrom 'empty nest' iaitu perasaan sedih dan kesunyian apabila berjauhan dengan anak-anak.
"JKM juga menyediakan perkhidmatan Khidmat Bantu di Rumah khusus bagi warga emas yang tinggal seorang diri. Warga emas ini akan dibantu oleh sukarelawan secara berkala," katanya.
-- BERNAMA
#kesihatan mental #jkm #warga emas #NIOSH
;