Nintendo dedah 300,000 akaun dalam talian pengguna digodam

Agensi
Jun 10, 2020 12:19 MYT
Nintendo mendapati jumlah akaun yang digodam meningkat sehingga 300,000 selepas siasatan lanjut dibuat. - Foto AFP
SYARIKAT permainan video Nintendo pada Selasa mendedahkan sejumlah 300,000 akaun milik pengguna dalam talian digodam sejak awal April lalu.
Penggodam dipercayai menggunakan Nintendo Network ID milik syarikat itu tanpa kebenaran, lapor CNN.
Terdahulu, syarikat itu mengeluarkan kenyataan awal sebanyak 160,000 akaun dalam taliannya digodam.
Namun, kemas kini pada Selasa (9 Jun) mendapati jumlah akaun yang digodam meningkat sehingga 300,000 selepas siasatan lanjut dibuat.
“Pengguna tidak perlu lagi menggunakan ID yang sama untuk masuk ke akaun mereka dan kata laluan yang mungkin telah digodam akan diset semula.”
Sehubungan itu, Nintendo memaklumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan beberapa langkah keselamatan tambahan termasuk pembayaran balik kepada sebahagian akaun pengguna yang terjejas akibat pembelian palsu.
Dalam pada itu, syarikat itu menjelaskan bahawa antara maklumat yang berpotensi diakses oleh penggodam adalah servis pembayaran yang berhubungan dengan akaun pengguna termasuk akaun PayPal atau kad kredit digunakan untuk membeli barangan di pelantar Nintendo.
Justeru, Nintendo meminta pelanggan agar memeriksa sejarah pembelian mereka jika terdapat sebarang transaksi yang tidak sah sebelum membuat permohonan untuk bayaran balik.
#akaun pengguna #godam #hackers #keselamatan #Mario #Nintendo #Nintendo Network ID #pembelian palsu #penggodam #permainan video #video games
;