NIMP 2030: Wadah perkasa industri, pelengkap Ekonomi MADANI - Pakar
Bernama
September 2, 2023 04:40 MYT
September 2, 2023 04:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) mampu menjadi pelengkap kepada 'Ekonomi MADANI', namun ketersediaan tenaga kerja mahir berasaskan teknologi dalam negara perlu ditingkatkan.
Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini kerana NIMP 2030 memerlukan tenaga kerja mahir berasaskan teknologi bagi memenuhi permintaan sektor pekerjaan baharu yang bakal wujud menerusi pelan itu kelak.
Mengambil contoh kejayaan Indonesia dinobat sebagai negara berpendapatan menengah atas oleh Bank Dunia baru-baru ini susulan kejayaan memulihkan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19, beliau berkata, Malaysia tidak boleh kekal 'berpeluk tubuh' sebaliknya, perlu segera melaksanakan pembangunan industri lestari berasaskan teknologi.
"Kita mahu industri dapat ditingkatkan dari segi nilai tambah yang banyak menggunakan buruh berkemahiran tinggi terutama dalam bidang reka bentuk dan pembangunan cip. Ia memerlukan perancangan yang rapi supaya pembinaan kapasiti dapat dilaksanakan dengan sistematik.
"Ditambah pula industri seperti aeroangkasa, EV (kenderaan elektrik) dan sebagainya yang menjadi pemangkin dalam industri-industri yang hendak dibangunkan, sudah pasti ia melibatkan bidang kerja yang lebih kompleks," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, pemindahan teknologi daripada syarikat-syarikat global ke negara ini juga perlu berlaku manakala sistem pendidikan harus diperkasakan bagi melahirkan tenaga buruh berkemahiran tinggi, berketerampilan dan bijak menyelesaikan masalah dalam memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Beliau berkata, kolaborasi antara syarikat awam dan swasta juga penting dalam mewujudkan suasana persaingan yang adil ke arah merealisasikan agenda itu.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan NIMP 2030 yang mengambil pendekatan berasaskan misi yang jelas dan akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem sektor pembuatan tetapi juga seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian dan merealisasikan wawasan Malaysia.
NIMP 2030 menyasar untuk meningkatkan nilai tokokan pembuatan sebanyak 6.5 peratus kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, hasil daripada intervensi pelan induk tersebut bagi sektor berimpak tinggi.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof \Mohamad Sattar Rasul berkata, kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan STEM penting bagi memenuhi permintaan terhadap sumber tenaga yang cekap dan mahir selari dengan perubahan semasa.
Beliau berkata, peluang pekerjaan yang semakin meningkat dalam sektor ekonomi dan industri berasaskan kemahiran teknologi tinggi adalah sejajar dengan kemajuan negara dalam bidang automasi dan kemajuan teknologi.
"Sistem gaji progresif yang akan diperkenalkan juga dapat memberi manfaat kepada pekerja dan menguntungkan industri. Produktiviti industri akan lebih meningkat apabila pendekatan gaji progresif ini dilaksanakan dengan pekerja akan lebih komited dan berusaha memajukan industri yang mereka sertai," katanya.
Menurut Mohamad Sattar, NIMP 2030 juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk masyarakat kelas pertengahan memandangkan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai mengubah sifat pekerjaan dan memerlukan lebih ramai tenaga kerja.
"Namun, kita perlu membangunkan kecekapan masa depan ini selari dengan strategi dan fokus perindustrian itu," katanya. - BERNAMA