NIMP 2030 tingkatkan nilai sektor pembuatan kepada RM587.5 bilion - PM Anwar
Firdaus Azil
September 1, 2023 14:06 MYT
September 1, 2023 14:06 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP 2030) akan memerlukan kos sekitar RM95 bilion bagi tempoh masa tujuh tahun, yang majoritinya akan disumbang oleh ekuiti swasta, kapital dan pasaran kewangan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hampir 10 peratus dari jumlah tersebut akan disediakan kerajaan bagi tujuan memangkin dan memberi insentif melalui Tabung Pembangunan Industri NIMP dan Tabung Pelaburan Bersama Strategik NIMP.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pelan tersebut disasar untuk meningkatkan nilai tambah sektor pembuatan kepada RM587.5 bilion menjelang 2030, pengembangan sebanyak 6.5 peratus dari nilainya hari ini.
“(Unjuran) Ini menandakan peningkatan sebanyak 61 peratus, hasil penglibatan NIMP 2030 ke atas sektor berimpak tinggi seperti – elektrik dan elektronik; bahan kimia; kenderaan elektrik (EV); aeroangkasa; farmaseutikal dan bahan lanjutan (eds: advanced material) seperti mineral, batuan dan logam.
“Dari segi peluang pekerjaan, perkembangan diunjurkan sebanyak 2.3 peratus dari tahun 2023, menyediakan peluang kehidupan lebih baik untuk 3.3 juta individu menjelang 2030. Trajektori pekerjaan industri dijangka mengembang ekoran pengwujudan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara menuju ke arah aktiviti bernilai tinggi, dan menambah baik automasi dan teknologi,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan NIMP 2030 di ibu negara, hari ini, yang merupakan edisi keempat pelan perindustrian negara atau IMP4.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri-menteri Kabinet; pegawai-pegawai kanan kementerian; dan pemain industri.
NIMP 2030 merupakan IMP ke-empat negara, dan direka berlandaskan empat misi utama – kemajuan ekonomi rumit (advanced economic complexity); agenda negara digital; ke arah negara sifar karbon; serta mengawal keselamatan dan keterangkuman ekonomi.
Dalam ucapannya Perdana Menteri menjelaskan, perkara paling penting melalui pelaksanaan NIMP 2030 ialah gaji median sektor pembuatan dijangka akan berkembang 9.6 peratus, mencapai RM4,510 dari RM1,976, yang dilihat bawah purata nasional biarpun sektor pembuatan adalah antara penyumbang utama dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau berkata, peningkatan sebanyak 128 peratus ini dipacu pergerakan industri ke arah aktiviti bernilai tinggi dan kewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Menyentuh mengenai peranan NIMP 2030 dalam membina kapasiti syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam sektor pembuatan, Anwar berkata, pelan itu mempunyai rangka tindakan spesifik untuk meletakkan SME lebih tinggi dalam rangkaian nilai global.
“Pelan ini akan membantu mengembangkan SME menjadi syarikat tier pertengahan, yang dapat membantu Malaysia memperoleh pendapatan dari pertukaran wang asing.
“Saya difahamkan MITI juga mempunyai rangka kerja yang akan diluncurkan dalam tempoh beberapa minggu lagi, untuk membina kapasiti SME dalam prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata pelan itu penting bagi memastikan keterlibatan SME dalam ekosistem vendor yang mesra ESG, serta memperoleh akses dalam pasaran eksport yang menitikberatkan prinsip ESG.