Nilai sentimental Pekan Rabu jadi tarikan pengunjung

Bernama
Julai 26, 2014 09:36 MYT
Nilai sentimental Pekan Rabu jadi tarikan pengunjung
Ada nilai sentimental - itulah sebenarnya daya tarikan pengunjung setia Pekan Rabu Alor Setar bagi mendapatkan pelbagai barangan terutamanya menjelang hari raya.
Kini perasaan rakyat Kedah berbelah bahagi antara mengekalkan bangunan lama atau sebaliknya apabila Pekan Rabu akan dibina semula dengan bangunan yang serba moden.
Yuhaida Yusof, 32, dari Gurun, berkata sejak kecil dia dan keluarga pasti mengunjungi Pekan Rabu pada bulan Ramadan untuk mendapatkan keperluan seperti pakaian raya, kuih-muih serta barangan hiasan rumah.
"Rasa macam sedih juga bila dapat tahu Pekan Rabu akan dibina semula sebab bagi saya, ia ada tarikan tersendiri. Dari dulu macam ni saja (keadaan) Pekan Rabu ni, bila datang teringat zaman kecil, ada nilai sentimental.
"Tapi mungkin kini sudah tiba masanya untuk Pekan Rabu berubah wajah. Mungkin bila dah jadi lebih moden, keadaan lebih selesa dan kenangan baharu boleh saya cipta," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Bagi Noraini Bakar, 51, dari Ayer Hitam, Jerlun, pula menyifatkan Pekan Rabu dekat dengan hati rakyat Kedah dan berharap pembinaannya akan berjalan lancar kerana di situlah tempat dia dan keluarga membeli pelbagai keperluan sejak dulu.
"Tempat ni macam 'one stop centre' (pusat sehenti), semua ada. Datang sini saja, tak payah pi tempat lain. Rasa tersentuh juga bila dapat tahu nak dirobohkan, tapi tak apalah, demi kebaikan masa depan," katanya.
Baru-baru ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek sendiri mengakui dan mengatakan bahawa pembinaan semula kompleks itu memerlukan penelitian dan ia akan dilakukan sebaik mungkin demi menjaga hati semua pihak terlibat.
"Pembinaan semula kompleks Pekan Rabu adalah sesuatu yang sangat sensitif kerana ia menyentuh sensitiviti rakyat Kedah, tapi kita lakukan ini untuk kebaikan semua, kita akan uruskan sebaik mungkin," katanya.
Bermula November ini Pekan Rabu iaitu pusat perniagaan bumiputera di bandar raya ini akan diroboh untuk dibina semula supaya lebih selesa dan lapang dengan kos bernilai RM53 juta itu.
Kerajaan negeri Kedah telah meluluskan permohonan tanah seluas 5,062 meter persegi di tapak lama di Jalan Tunku Ibrahim, di sini untuk pembinaan kompleks berkenaan.
Walaupun akan kembali beroperasi dengan wajah baharu dalam tempoh lebih kurang dua tahun lagi, Hasan memberi jaminan bahawa ciri-ciri keunikan konsep asal Pekan Rabu akan dikekalkan dan peniaga asal akan dipastikan dapat masuk semula ke kompleks baharu, malah ruang niaga akan bertambah.
Pekan Rabu diasaskan oleh Almarhum Tunku Yaacob Almarhum Sultan Abdul Hamid pada 1920 di tepi Sungai Kedah berdekatan Tanjong Chali yang pada asalnya beroperasi pada hari Rabu sahaja, namun bermula 1932, ia dipindahkan ke Jalan Tunku Ibrahim dan menjalankan operasi setiap hari selepas Perang Dunia Kedua.
Terdapat 277 peniaga yang menjalankan pelbagai jualan seperti makanan, kuih dan pakaian tradisional, tukang jahit, songkok, kraftangan tempatan, buku, kitab, majalah serta produk industri kecil dan sederhana (IKS).
Setiausaha Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad, Mohamad Anuar A. Rahim berkata kompleks perniagaan baharu yang akan dibina itu mampu memuatkan 360 premis perniagaan berbanding 347 premis yang sedia ada sekarang.
Katanya, tujuan dan matlamat utama pembinaan semula Pekan Rabu adalah bagi meningkatkan taraf ekonomi peniaga selain memastikan pengunjung dapat merasai suasana kompleks yang lebih baharu, pencahayaan yang lebih baik malah selesa tanpa masalah seperti kekerapan paip bocor.
Sementara menunggu pembinaannya siap, peniaga sedia ada akan ditempatkan di bangunan Ukir Mall yang terletak lebih kurang dua kilometer dari tapak Pekan Rabu dan mereka akan berpindah pada 1 Ogos ini.
#Aidilfitri #Alor Setar #hari raya #Pekan Rabu
;