Nilai semula proses pemilihan Senator, Dewan Negara tidak boleh di takuk lama - Rais Yatim
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 4, 2021 11:37 MYT
Oktober 4, 2021 11:37 MYT
KUALA LUMPUR: Proses pemilihan dan pelantikan ahli Senator Dewan Negara perlu dinilai semula, kata Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim.
Katanya, ia seiring usaha mensohorkan Dewan Negara dan bagi menterjemahkan Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam aspek profession.
"Dalam hal ini, saya serahkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk meneliti dan memperdebatkannya agar satu solusi komprehensif dapat dicapai demi Dewan yang mulia ini," katanya.
Beliau menyuarakan pandangan demikian ketika memulakan Mesyuarat Pertama Dewan Negara, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 hari ini.
Selain itu, Rais berkata, tiga Jawatankuasa Pilihan Khas yang mempunyai kuasa perundangan akan ditubuhkan di bawah Dewan Negara dalam usaha meningkatkan penglibatan Senator seiring usaha transformasi Parlimen.
Tiga jawatankuasa tersebut adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan serta Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah.
"Kita berkeyakinan penuh apabila ketiga-tiga jawatankuasa pilihan khas ini dijelmakan sepenuhnya, peranan Dewan Negara dalam soal memperjuangkan isu serta kemaslahatan rakyat akan tersohor.
"Ia sekali gus dengan sendirinya akan menghakis persepsi kurang enak yang sekian lama dilemparkan kepada Dewan ini," ujarnya.
Mengulas lanjut, Rais berharap semua Senator sehaluan dalam menjayakan usaha mentransformasi Parlimen kerana tegasnya, Dewan Negara tidak boleh berterusan berada di takuk lama.
"Institusi ini perlukan nafas baharu serta di jemala kita semualah tanggungjawab tersebut terpikul dan rakyat di bawah sana sedang menilai gerak kerja kita," ujarnya.