Nilai ringgit lemah berbanding dolar AS pada sesi pembukaan urus niaga
Bernama
Mac 8, 2023 10:00 MYT
Mac 8, 2023 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Nilai ringgit kembali dibuka rendah berbanding dolar AS selepas mencatatkan kenaikan pada hari-hari sebelumnya apabila dolar AS mengukuh, didorong oleh laporan monetari separuh tahun kepada kongres oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang lebih memihak kepada menaikkan kadar faedah.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai menjadi 4.5065/5140 berbanding dolar daripada penutupan Selasa pada paras 4.4710/4730.
Ketua Ekonomi, Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Ketua Rizab Persekutuan AS Jerome Powell masih tetap dengan pendirian kepada menaikkan kadar faedah.
"Rizab Persekutuan bersedia untuk menaikkan kadar dana Persekutuan, malah mungkin lebih tinggi daripada apa yang diharapkan oleh pasaran sekiranya data terus menunjukkan daya tahan lebih lanjut terhadap ekonomi AS.
Dalam perkembangan lain, Mohd Afzanizam turut berkata Indeks Dolar AS (DXY) telah meningkat 1.21 peratus kepada 105.616 mata.
"Justeru, ringgit dijangka berada di sisi yang lebih lemah hari ini dengan tahap rintangan semasa sekitar RM4.5293 berbanding dolar AS dan akan bergerak ke arah ini dalam jangka masa terdekat," katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi terhadap sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3321/3410 daripada 5.3715/3739 pada hari Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.7539/7618 daripada 4.7647/7669 tetapi rendah berbanding yen menjadi 3.3283/3341 daripada 3.2909/2926 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding beberapa mata wang ASEAN.
Mata wang tempatan itu menyusut nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.3283/3341 daripada 3.3210/3229 semalam dan merosot berbanding peso Filipina kepada 8.15/8.17 daripada 8.12/8.13.
Ringgit juga lemah berbanding rupiah Indonesia kepada 293.2/293.8 daripada 290.90/291.1 pada penutupan sebelumnya tetapi tinggi berbanding baht Thai pada 12.8354/8615 daripada 12.9332/9453.
-- BERNAMA