Nilai rampasan pil kuda di Kelantan hampir RM5.3 juta
Muhafandi Muhamad
Julai 4, 2017 19:55 MYT
Julai 4, 2017 19:55 MYT
Jumlah nilai rampasan pil kuda di Kelantan sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan RM5,293,890 dengan hampir 530,000 biji pil berkenaan dirampas.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Supt Mit Emong ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan jumlah rampasan tersebut walau bagaimana pun menurun berbanding tempoh sama tahun lepas.
Sepanjang tempoh sama tahun lepas, nilai rampasan berjumlah RM12,889,525 dengan 515,581biji pil kuda dirampas.
Beliau menjelaskan jumlah tangkapan penagih dan pengguna pil kuda dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas ialah 8,737 orang berbanding 8,934 orang dalam tempoh sama tahun ini.
Sementara itu, menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, sepanjang tahun ini, sebanyak 1,272 orang penagih pil kuda berada di bawah pengawasan dan program pemulihan AADK Kelantan.
Menurut pengarahnya, Rahayu Ahmad, jumlah tersebut meningkat berbanding tahun lepas iaitu 952 orang.
Mengikut pecahan umur, 19 hingga 39 tahun menyumbang 80 peratus penagih, diikuti umur 40 tahun ke atas 12 peratus dan 8 peratus berusia dari 13 hingga 18 tahun.
Katanya, golongan buruh dan penganggur mencatatkan jumlah tertinggi terlibat dengan penagihan pil kuda.