Nilai potensi anak, elak paksa ikuti bidang tidak diminati

Farhan Hakimi
Mei 27, 2024 12:00 MYT
Mohd Nazri berkata, pada masa kini, peluang pendidikan terbuka luas memandangkan terdapat banyak bidang pengajian di IPT yang boleh diceburi sekiranya keputusan SPM kurang memberangsangkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Ibu bapa disaran supaya tidak memaksa anak menceburi bidang pengajian yang di luar kehendak mereka apabila tamat persekolahan.
Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan Dan Kaunseling Universiti Malaya Prof Madya Dr Mohd Nazri Abdul Rahman berkata, pertimbangan untuk meneruskan pembelajaran di peringkat lebih tinggi perlu dibuat dengan melihat kepada kemampuan dan kebolehan anak dalam sesuatu bidang.
Ini supaya potensi sebenar mereka dapat diasah di peringkat institusi pengajian tinggi.
"Pada suatu ketika dahulu, di era saya, apabila gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), maka tamatlah laluan untuk menempa kejayaan.
"Ia menyebabkan anak tiada pilihan lain selain mencari kerja.
"Namun pada masa kini, peluang pendidikan itu terbuka seluas mungkin. Banyak bidang yang boleh diceburi sekiranya nilai yang diperolehi dalam SPM kurang memberangsangkan," katanya.
Tambahnya, SPM hanyalah satu tangga permulaan di dalam kehidupan.
Mohd Nazri juga menyeru ibu bapa untuk memberi galakan kepada anak-anak mereka berdasarkan potensi yang dimiliki, bukannya berdasarkan bidang yang menepati kehendak ibu bapa, sekiranya ia tidak sesuai dengan kemampuan anak mereka.
Pandangan itu dikongsikan beliau dalam program AWANI Pagi hari ini.
#nilai potensi anak #SPM #Institusi Pengajian Tinggi #pilih bidang pengajian
;