Nilai pinjaman SPED akan dinaikkan kepada RM1 juta

Astro Awani
Mei 30, 2015 19:47 MYT
Penambahan pinjaman itu mampu membantu golongan usahawan meningkatkan ekonomi dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan desa. - Foto Astro AWANI
Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) kepada usahawan bumiputera di kawasan luar bandar akan dinaikkan dari RM500,000 kepada RM1 juta.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penambahan had nilai pinjaman itu mampu membantu golongan usahawan meningkatkan ekonomi dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan desa.
Shafie menambah, sejak SPED diperkenalkan 14 tahun lalu, pinjaman sebanyak RM360 juta telah diberikan kepada 3,618 peminjam yang diluluskan.
Ujarnya, SPED terbukti berjaya melahirkan golongan usahawan bumiputera sekaligus meningkatkan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan di kawasan luar bandar
Malah katanya, skim pembiayaan itu turut diterima baik golongan usahawan.
Justeru dengan penambahan nilai pinjaman, beliau percaya lebih ramai usahawan dapat dilahirkan dan dibantu kelak.
Shafie berkata, Kedah mencatatkan bilangan usahawan sped tertinggi di Malaysia iaitu seramai 512 orang dengan nilai pinjaman bernilai RM52,250,934.93.
Manakala bagi negeri Perlis bilangan usahawan SPED setakat ini adalah seramai 136 usahawan dengan nilai pembiayaan diluluskan sebanyak RM11,870,678.38.
Beliau berkata demikian pada majlis sesi antara Shafie dan usahawan SPED zon utara di Perlis pada Sabtu.
Pada majlis itu juga, Shafie turut menyampaikan anugerah kepada Mazarul Enterprse Sdn Bhd salah seorang usahawan di Perlis yang berjaya mengembangangkan perniagaan hasil pembiayaan SPED.
#Shafie Apdal #Skim Pembiayaan Ekonomi Desa #SPED
;