Nilai pasaran kredit komuniti negara cecah RM24.8 bilion - Nga
Bernama
Mei 24, 2024 15:00 MYT
Mei 24, 2024 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Nilai pasaran industri kredit komuniti di negara ini dianggarkan mencecah RM24.8 bilion pada tahun lepas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata jumlah itu meliputi nilai pinjaman serta pajak gadai melibatkan Pemberi Pinjaman Wang (PPW) dan Pemegang Pajak Gadai (PPG).
Beliau berkata nilai pasaran industri kredit komuniti dijangka terus meningkat setiap tahun sekali gus memainkan peranan dalam menyokong rantaian ekonomi terutamanya masyarakat dan mikro.
"Ada dua segmen utama peminjam dengan PPW iaitu korporat dan individu, berdasarkan data daripada 2021 hingga tahun lalu, peminjam sektor korporat adalah sebanyak 62 peratus dan selebihnya (38 peratus) ialah peminjam individu.
"Sehingga April, terdapat 4,416 pemegang lesen PPW meliputi 3,306 di Semenanjung di bawah kawal selia KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) manakala baki 1,110 di Sabah, Sarawak dan Labuan dikawal selia Pihak Berkuasa Pelesenan di negeri masing-masing," katanya dalam Majlis Prapelancaran Anugerah Kredit MADANI di sini hari ini.
Nga berkata dalam tempoh sama, terdapat 881 pemegang lesen PPG di seluruh negara di bawah kawal selia KPKT.
Beliau pada masa sama menasihati orang ramai supaya jangan terjebak dengan pinjaman tanpa lesen atau pinjaman 'along' yang tidak melindungi kepentingan pengguna.
"Untuk buat sebarang pinjaman pun, orang ramai perlu cakna dan memastikan setiap proses permohonan pinjaman atau pemajakgadaian itu perlu dilaksanakan mengikut prosedur yang betul, oleh pihak yang betul-betul berlesen.
"Pilih yang berdaftar dan berlesen, kerana mereka tertakluk kepada pematuhan beberapa akta seperti Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 bagi memastikan ketelusan transaksi," katanya.
Mengulas mengenai Anugerah Kredit MADANI, Nga berkata anugerah itu bertujuan memberi satu bentuk pengiktirafan kepada syarikat pemegang lesen PPW dan PPG atas inisiatif dan usaha pemain industri dalam memastikan kepatuhan terhadap akta dan peraturan.
"Majlis julung kali pada 15 Nov ini akan menawarkan 14 anugerah buat PPW dan PPG antaranya Anugerah Khas Menteri PPW dan PPG MADANI; Perniagaan Paling Bernilai dan Inovasi Terbaik," katanya.
-- BERNAMA