Nilai pampasan kepada setinggan ikut standard - Datuk Bandar KL

Israr Khalid
April 13, 2017 14:33 MYT
MHD AMIN: Kira-kira 35,000 penduduk setinggan yang kita pindahkan sejak 10 tahun lepas standardnya sama.
Nilai pampasan kepada penduduk Lot 9714 Jinjang Selatan Tambahan yang diarah berpindah buat sementara bagi pembangunan kawasan tersebut adalah mengikut standard pampasan yang diberikan kepada semua setinggan yang dipindahkan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin berkata, sagu hati perpindahan sebanyak RM1,000 serta tanggungan sewa RM600 sebulan itu sudah diamalkan sejak 10 tahun lepas.
“Kira-kira 35,000 penduduk setinggan yang kita pindahkan sejak 10 tahun lepas standardnya sama, iaitu kos perpindahan mereka adalah RM1,000 oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya rasa kalau dia cari, mungkin ada rumah yang boleh disewa dengan harga RM600 sebulan. Kecuali kalau mereka cari kondominium memang mahallah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Jelasnya lagi, pihaknya tidak boleh menggesa pihak pemaju perumahan untuk mengubah harga sewa kerana ia tertakluk kepada perkiraan pihak pemaju.
Semalam, penduduk kawasan perumahan tersebut menyerahkan memorandum bantahan notis pengosongan kawasan kepada DBKL kerana merasakan jumlah pampasan yang dijanjikan dalam surat pengosongan tapak itu tidak mencukupi.
Selain itu, mereka juga menyatakan tidak ada jaminan dibuat DBKL berhubung lokasi pembinaan rumah gantian penduduk.
Kata Mhd Amin, mereka tidak perlu risau kerana rumah gantian yang dinyatakan akan dibina di tapak tersebut dan akan memulakan pembinaan apabila berpindah sepenuhnya dari kawasan tersebut.
“Projek kita bukan satu ini sahaja tetapi merata di Kuala Lumpur ini. Kalau pemaju tidak buat bermakna dia melanggar perjanjian, dia (pemaju) gerenti kena buat.
“Saya ambil contoh flat lama Razak Mansion, mereka berpindah, rumah gantian sudah siap dan mereka pun sudah dapat rumah.
“Pembinaannya berfasa. Kalau mereka belum selesai pindah, bagaimana pemaju nak mulakan pembinaan?,” ujarnya.
Beliau turut memberi jaminan setiap penduduk terlibat sudah dibanci dan akan mendapat unit rumah gantian mereka mengikut status rumah mereka sebelum ini sama ada setinggan, rumah panjang atau bekas lot Lesen Menduduki Sementara (TOL).
Penduduk bekas pemilik lot TOL akan diberi rumah gantian secara percuma, sementara penduduk setinggan dan rumah panjang akan ditawarkan sebuah lot rumah dengan harga RM42,000 seunit.
#datuk bandar kl #Jinjang Selatan Tambahan #Mhd Amin Nordin #pampasan #setinggan
;