Nilai keseluruhan PEMULIH RM150 bilion, suntikan fiskal RM10 bilion - PM Muhyiddin

Firdaus Azil
Jun 28, 2021 18:58 MYT
Muhyiddin berkata, PEMULIH mempunyai tiga fokus utama iaitu 'Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; Menyokong Perniagaan; dan Meningkatkan Vaksinasi'.
PUTRAJAYA: Nilai keseluruhan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diperkenalkan kerajaan adalah sebanyak RM150 bilion, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Melalui pakej itu, beliau berkata, suntikan langsung fiskal kerajaan adalah sebanyak RM10 bilion.
Perdana Menteri berkata, PEMULIH bertujuan untuk memberikan bantuan menyeluruh kepada rakyat dan tertumpu kepada tiga fokus utama iaitu 'Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; Menyokong Perniagaan; dan Meningkatkan Vaksinasi'.
“Sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita, kerajaan telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion.
“Setakat ini, sebanyak lebih RM200 bilion telah disalurkan, dan memberi manfaat kepada lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta perniagaan. Belanjawan 2021 pula bernilai RM322.5 bilion, dan masih berbaki RM100 bilion untuk dibelanjakan sehingga hujung tahun ini,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas sempena pengumuman PEMULIH, pada Isnin.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau amat memahami keresahan rakyat Malaysia ketika ini.
Katanya lagi, beliau dan dan rakan-rakan dalam Kabinet sentiasa memikirkan keluh-kesah dan kesusahan yang dialami rakyat, dan mencari jalan untuk mengatasinya.
“Kerajaan tetap terus bergerak, berjuang dan berusaha keras setiap masa, sekalipun dalam keterbatasan, untuk memastikan negara kekal berada pada 28 landasan pemulihan yang tepat dan nasib anda(rakyat) semua terus terbela.
“Biarpun diuji setiap segi, kerajaan berikrar akan terus cekal memberikan khidmat terbaik buat anda semua,” katanya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa mendengar dan menerima pandangan semua pihak dengan hati terbuka, memperbaiki sistem penyampaian, berusaha dan berikhtiar mencari jalan keluar dari kemelut pandemik COVID-19.
Tambahnya lagi, kerajaan akan terus membantu sedaya mampu supaya rakyat dan negara kita terus dilindungi.
“Program vaksinasi akan menjadi kunci utama kejayaan kita melawan COVID-19. Bagi mereka yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin, segeralah menunaikan kewajipan anda untuk kebaikan kita bersama.
“Berilah kerjasama penuh dan juga sedikit masa bagi pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, supaya Pelan Pemulihan ini berjaya dilaksanakan. Lindung diri, lindung semua,” katanya lagi.
#PEMULIH #Perdana Menteri #nilai #RM150 bilion #Rm10 bilion #COVID-19 #kesusahan rakyat #Muhyiddin Yassin #vaksinasi #PICK #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
;