Nilai jualan sektor pembuatan meningkat, tertinggi dalam tempoh 13 bulan
Nina Rozman
Jun 10, 2024 13:12 MYT
Jun 10, 2024 13:12 MYT
KUALA LUMPUR: Nilai jualan sektor pembuatan meningkat sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun, mencapai nilai RM153.2 bilion pada April 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan ini mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam tempoh 13 bulan berikutan kesan nilai asas yang lebih rendah.
Kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh nilai jualan dalam subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (16.9 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (12.8 peratus) serta peralatan elektrik dan elektronik (2.7 peratus).
Namun begitu, nilai jualan sektor pembuatan menguncup 3.3 peratus daripada RM158.4 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, industri berorientasikan eksport yang menyumbang 69.9 peratus daripada jumlah jualan.
Peningkatan sebanyak 3.4 peratus daripada negatif 0.1 peratus pada Mac 2024.
Kenaikan tersebut adalah didorong oleh pengembangan dalam industri pembuatan kimia dan produk kimia (9.9 peratus); pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran serta haiwan (8.3 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik serta optikal (2.9 peratus).
Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan industri berorientasikan eksport jatuh sebanyak 3.9 peratus berbanding pertumbuhan 10.0 peratus yang dicatatkan pada Mac 2024.
Di samping itu, industri berorientasikan domestik terus berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 11.4 peratus pada April 2024 (Mac 2024: 5.4 peratus).
Kenaikan tersebut dipacu oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler; pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan, yang masing-masing melonjak sebanyak 23.1 peratus dan 17.0 peratus.
Selain itu, Uzir berkata, seramai 2.37 juta orang pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada April 2024.
"Ia meningkat 1.0 peratus berbanding 2.35 juta orang yang direkodkan setahun lalu (Mac 2024: 0.5 peratus)," jelas beliau lagi.
Kenaikan itu sebahagian besarnya dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (4.7 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas serta produk logam yang direka (2.3 peratus) dan kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (1.3 peratus).
Mengulas prestasi keseluruhan sektor pembuatan bagi empat bulan pertama tahun 2024, Uzir berkata, nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM610.6 bilion, meningkat sebanyak 2.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 (Januari - April 2023: 5.5 peratus).
Pada tempoh tersebut, bilangan pekerja bertambah sebanyak 1.0 peratus kepada sejumlah 2.37 juta orang, manakala gaji dan upah menokok 1.2 peratus kepada RM32.9 bilion.
Justeru, nilai jualan setiap pekerja mencatatkan sebanyak RM257,337 pada tempoh tersebut merekodkan pertumbuhan 1.7 peratus.