Nilai jualan perdagangan borong dan runcit catat pertumbuhan 5.7 peratus

Astro Awani
Mei 8, 2020 15:00 MYT
Untuk perdagangan borong, kata Dr Mohd Uzir, nilai jualan juga mencatatkan pertumbuhan negatif 2.7 peratus pada Mac 2020. - Gambar Twitter @ Dato Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin
Nilai jualan perdagangan borong dan runcit berjumlah RM103.2 bilion pada Mac, mencatatkan pertumbuhan negatif 5.7 peratus berbanding tempoh sama setahun lalu.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu disumbang oleh kejatuhan dalam nilai jualan kenderaan bermotor sebanyak -15.3 peratus.
“Perdagangan runcit menyusut kepada 6.6 peratus disebabkan penurunan dalam jualan runcit bahan api kenderaan dan jualan melibatkan produk non-essential iaitu jualan runcit peralatan isi rumah, jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi, jualan runcit peralatan komunikasi dan maklumat dan jualan runcit barangan lain.
“Untuk perdagangan borong, nilai jualan juga mencatatkan pertumbuhan negatif 2.7 peratus pada Mac 2020,” katanya semasa sidang video di laman Facebooknya di sini, pada Jumaat.
Ia terkandung dalam Statistik Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Mac 2020 dan Laporan Survei Tenaga Buruh, Malaysia, Suku Pertama 2020 (ST1 2020) yang memaparkan statistik tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran yang diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB).
Tambah beliau, bagi prestasi perdagangan borong dan runcit berbanding bulan lalu, nilai jualan mencatatkan pertumbuhan negatif 5.3 peratus.
“Pertumbuhan negatif ini disumbangkan oleh semua subsektor iaitu rerdagangan runcit, kenderaan bermotor dan perdagangan borong masing-masing mencatatkan -9.9 peratus, -4.4 peratus dan -1.6 peratus.
“Indeks volum menyusut 6.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya,” ujarnya.
Beliau seterusnya memaklumkan bahawa kejatuhan ini didorong oleh kenderaan bermotor dengan -14.4 peratus diikuti oleh perdagangan runcit, -7.5 peratus dan perdagangan borong, 2.5 peratus.
Ujarnya, indeks volum pelarasan musim juga menyusut kepada 11.6 peratus berbanding Februari 2020.
#API #bermotor #borong #rumah #runcit #video
;