Nilai eksport produk kayu disasar cecah RM19 bilion menjelang 2025 - Zuraida

Bernama
April 10, 2022 08:00 MYT
ZURAIDA: Malaysia merupakan pengeksport perabot dan komponen perabot ke-10 utama dunia dan mencapai nilai eksport RM10.41 bilion pada tahun lepas dengan lima destinasi eksport utama. -Astro AWANI/Shahir Omar
BANTING: Kerajaan menyasarkan nilai eksport produk kayu termasuk perabot berasaskannya mencecah RM19 bilion menjelang 2025 di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) 2021-2030.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata industri perabot kayu juga berpotensi mencatat pertumbuhan positif tahun ini dengan peningkatan permintaan daripada pasaran utama, sejajar peralihan negara ke fasa endemik.
"Malaysia merupakan pengeksport perabot dan komponen perabot ke-10 utama dunia dan mencapai nilai eksport RM10.41 bilion pada tahun lepas dengan lima destinasi eksport utama seperti Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, United Kingdom dan Australia.
"Sehubungan itu, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memperluaskan lagi pasaran komoditi negara termasuk sektor kayu-kayan.
"Malah, kita telah mengadakan Siri Jelajah Agrikomoditi di peringkat antarabangsa seperti di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, India dan Turki," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus dengan Majlis Perabot Malaysia (MFC) pada Sabtu.
Zuraida berkata kementerian akan turut menganjurkan Sidang Kemuncak dan Ekspo Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MiACES) pada 26-28 Julai ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur.
Mengulas sesi libat urus bersama MFC hari ini, Zuraida berkata KPPK akan meneliti punca caj penghantaran yang didakwa agak tinggi dan mencecah sehingga 40 peratus bagi eksport perabot tempatan ke luar negara yang membebankan pengusaha dan pemain industri tersebut.
Caj tinggi berbanding China itu juga menyebabkan banyak eksport perabot terpaksa ditangguhkan akibat ketidakmampuan peniaga menampung kos tersebut.
"Kita akan meneliti puncanya sama ada dengan Kementerian Pengangkutan atau yang berkaitan," katanya.
MFC dengan keahliannya seramai 750 orang, turut membangkitkan isu mengenai status pengambilan pekerja asing.
Bagaimanapun, Zuraida menjelaskan bahawa sebuah jawatankuasa bagi menyegerakan permohonan kelulusan pekerja asing telah diwujudkan pada minggu ini bagi mempercepatkan pengambilan pekerja asing.
"Jawatankuasa itu akan mula bermesyuarat minggu depan. Pihak kementerian akan melakukan susulan untuk melihat bagaimana usaha industri perabot mendapatkan pekerja asing dapat dipercepatkan," katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan turut membolehkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Sumber Manusia mempercepatkan proses kelulusan dan menyelesaikan pengambilan pekerja terbabit.
-- BERNAMA
#Zuraida Kamaruddin #eksport produk kayu #Ekspo Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia #MiACES
;