Nikah di Thailand tidak diiktiraf dalam negara selagi tidak daftar dengan jabatan agama
Adie Sufian Zulkefli
Januari 31, 2023 15:35 MYT
Januari 31, 2023 15:35 MYT
ALOR SETAR: Pernikahan pasangan tempatan di Thailand tidak diiktiraf undang-undang jika tidak didaftarkan dengan jabatan agama di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia Negeri Kedah, Datuk Najmi Ahmad berkata, walaupun pernikahan itu sah di sisi Islam, namun, setiap pasangan yang gagal mendaftar tetap tidak diiktiraf.
Bahkan, kegagalan mendaftar perkahwinan dengan jabatan agama, tegas beliau, sekali gus akan menimbulkan pelbagai masalah lain pada masa akan datang.
Menurut Najmi, pernikahan di negara luar yang tidak didaftar di dalam negara juga, bukan hanya akan menyusahkan pasangan itu, malah memberi masalah kepada anak pasangan terbabit.
Katanya, pengesahan dan pendaftaran di pejabat agama sangat penting dan perlu didaftarkan pasangan sekembali ke negeri ini.
“Pertama sekali, sekiranya ada surat pengesahan daripada kaunselor kami di sana atau pihak berkuasa yang berkaitan di Thailand akan diakui pernikahan itu sah setelah kita membuat semakan dan siasatan.
“Kegagalan mendaftarkan pernikahan boleh mengakibatkan kesukaran mendapatkan sijil kelahiran anak mereka dan pelbagai isu lain mungkin akan timbul nanti termasuk isteri kedua sukar untuk membuat apa-apa tuntutan.
“Ia boleh menjadi isu yang berpanjangan sehingga menjejaskan hak anak-anak mereka untuk bersekolah nanti,” jelas Najmi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan ‘Bazar Buku Kedah’, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Najmi berkata, pernikahan di luar negara tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan juga akan menjadi satu kesalahan dan akan dihukum.
Menurutnya, selagi tidak disahkan oleh mahkamah, selagi itulah pasangan terbabit dianggap tidak berkahwin dan tiada sebarang rekod perkahwinan di negara ini.
Lebih mudarat lagi, tegas beliau, apabila berlaku perceraian, urusan faraid dan nasab anak selain berdepan tuduhan atas kesalahan khalwat kerana gagal me¬nunjukkan bukti rasmi perkahwinan di negara ini.
Beliau berkata, kebiasaannya mereka yang berkahwin di Thailand adalah kerana ingin berkahwin lebih daripada satu tetapi takut untuk meminta izin daripada isteri pertama.
“Ramai yang salah anggap bahawa kebenaran isteri pertama diperlukan untuk poligami. Ia sebenarnya memerlukan kebenaran mahkamah… apabila mahkamah perlukan maklumat, pihak mahkamah akan hubungi isteri pertama.
“Mahkamah hanya akan memberi kebenaran sekiranya suami difikirkan berkemampuan. Bagi lelaki yang berkemampuan, tak usah lah pergi kahwin di sana, mahkamah akan beri kebenaran jika mereka mampu kerana asas pertimbangan itu adalah dari segi nafkah.
“Ikutlah peraturan, ukur baju di badan sendiri, fikirkan masa depan keluarga dan anak-anak kerana ia akan menjadi masalah yang berpanjangan sekiranya pernikahan tidak didaftarkan di sini,” kata beliau memberi peringatan.
Justeru, Najmi menasihatkan agar lebih ramai pasangan muncul yang telah bernikah di negara jiran itu untuk membuat pendaftaran di pejabat agama di dalam negara.