Nik Raina dilepas tanpa dibebaskan dalam kes sebar buku Irshad Manji
Astro Awani
Februari 26, 2015 13:22 MYT
Februari 26, 2015 13:22 MYT
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini melepaskan tanpa membebaskan pengurus kedai Berjaya Books, Nik Raina Nik Abdul Aziz yang didakwa atas kesalahan menyebar dan mengedar buku kontroversi karya Irshad Manji.
Nik Raina, 39, ditahan pada 30 Mei 2012 dan didakwa di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana ‘menyebar dan mengedar’ dengan kaedah menjual buku berjudul "Allah, Liberty and Love" (Allah, Kebebasan dan Cinta) yang kandungannya bertentangan dengan undang-undang Islam.
Dia didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah pada 19 Jun 2012, dan pada 22 Mac tahun lalu Mahkamah Tinggi membuka peluang perbicaraan semula kepada Berjaya Books.
Bagaimanapun, pada 30 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan membuat keputusan bahawa serbuan dan rampasan buku Irshad Manji oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di kedai buku Borders tidak sah di sisi undang-undang kerana dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak kementerian.