Nik Aziz dijangka dibenarkan pulang minggu depan

Muhafandi Muhamad
Februari 2, 2015 18:40 MYT
Nik Abdul Aziz dijangka pulang ke rumah minggu depan.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka akan dibenar dibawa pulang ke rumah minggu depan bagi meneruskan sesi rawatan di Pulau Melaka.
Menurut anaknya, Nik Mohamed Abduh, kesihatan ayahnya bertambah baik dari hari ke hari dan perkembangan ini membolehkan ayahnya dibawa pulang ke rumah.
Katanya pada masa ini, ayahnya juga sedang menjalani sesi fisioterapi setiap hari yang dikendalikan oleh doktor dan pakar fisioterapi.
“Alhamdulillah, hari ini ayah dalam keadaan sihat dan beliau kelihatan bertambah sihat setelah menjalankan sesi terapi. Kami mungkin akan membawa beliau pulang minggu depan untuk menjalani rawatan di rumah,” kata Nik Mohamed Abduh.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas ditemui Astro AWANI selepas mengunjungi ayahnya petang tadi di Wad Neuro, Hospital Universiti Sains Malaysia, HUSM di Kubang Kerian.
Perkembangan Nik Abdul Aziz dari semasa ke semasa bertambah baik, bahkan sesi fisioterapi yang dijalankan sejak beberapa hari lalu menunjukkan tanda positif.
Nik Abdul Aziz dimasukkan ke HUSM pada 19 Jan lepas setelah tahap kesihatannya merosot selain menghidap kanser prostat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka ini merupakan Menteri Besar Kelantan kelima yang memegang jawatan itu dari 1990 hingga 2013.
#HUSM #Nik Abdul Aziz Nik Mat #Nik Mohamed Abduh #pulang #sesi rawatan
;