Nicky Liow masih dalam negara - KPN
Shuhada Abdul Kadir
April 9, 2021 17:33 MYT
April 9, 2021 17:33 MYT
MELAKA : Polis percaya pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee yang kini sedang diburu, masih berada dalam negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau percaya pasukan khas di bawah kepimpinan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay akan dapat menyelesaikannya dalam masa terdekat memandangkan rangkaiannya sudah ditahan dan dituduh.
“Dia dipercayai masih berada di dalam Malaysia dan saya yakin pasukan khas terus gigih untuk menilai apa juga maklumat yang dikongsikan orang ramai.
“Ahli rangkaiannya juga telah pun ditangkap dan ini sesuatu yang serius, bukan satu drama atau main-main wayang, kita amat serius untuk membanteras aktiviti sebegini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Bersepadu Op Khazanah (OBK) Siri 7, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Geng Nicky | Nicky, pembantu didakwa secara 'in absentia'
Jenayah | Polis mohon bantuan Interpol jejaki Datuk Seri Nicky Liow
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut memberi amaran kepada mana-mana individu yang dikesan cuba melindungi ahli perniagaan itu akan diheret ke muka pengadilan.
“Sebelum ini saya telah memberi amaran kepada sesiapa sahaja yang terlibat melindungi individu buruan itu, akan dibawa ke muka pengadilan kerana kita telah uar-uarkan dia adalah seorang yang dikehendaki polis.
“Sesiapa yang sengaja merahsiakan keberadaannya akan diambil tindakan,” tambah Abdul Hamid lagi.
Minggu lalu, media melaporkan ahli perniagaan berusia 33 tahun itu meloloskan diri selepas mendapat maklumat berhubung operasi yang bakal dibuat pada 20 Mac lalu daripada pegawai dan anggota polis serta agensi penguat kuasa lain yang berada dalam kawalannya, termasuk seorang bekas timbalan pendakwa raya.
Dalam operasi berkenaan, seramai 118 individu ditahan menerusi 70 serbuan dalam Operasi Pelican 3.0 yang dilakukan bagi mengesan dan menahan anggota kumpulan.
#Geng Nicky
#Nicky Liow Soon Hee
#diburu polis
#Winner Dynasty Group
#Ketua Polis Negara
#Abdul Hamid Bador